Categories
SELANGOR

Skim Rondaan Baru Tangani Jenayah Di Pangsapuri

KLANG, 5 MEI : Skim rondaan sendiri melibatkan penduduk bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) kawasan pangsapuri di Selangor dijangka akan dimulakan sebelum akhir Mei ini bagi menangani masalah kecurian dan vandalisme.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata pihaknya menerima banyak permintaan bagi tujuan itu daripada penduduk yang mendiami kawasan pangsapuri di Selangor.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri akan memulakan dua projek perintis di pangsapuri di dalam kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Sebelum ini kita terima banyak permintaan daripada penduduk di pangsapuri berkaitan kejadian jenayah dan mereka nak buat rondaan sendiri di dalam kawasan mereka. Kita rancang mulakan dengan dua projek perintis di kawasan perumahan pangsapuri di negeri ini.

“Dua projek ini dijangka bermula sebelum akhir Mei ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesra Menteri Besar Bersama JMB dan MC di sini hari ini.

Iskandar menambah, skim rondaan itu juga diwujudkan sebagai alternatif bagi penduduk dan bukan bertujuan menyaingi skim Rukun tetangga (RT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kerajaan Pusat.

Katanya, proses permohonan dan kelulusan skim negeri lebih cepat berbanding dengan RT dan SRS.

Bagi menjayakannya, Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat insurans yang bersetuju untuk memberikan skim perlindungan kepada mereka yang terlibat dalam rondaan tersebut.

“Kalau kita lihat Rukun Tetangga dan SRS oleh Kerajaan Persekutuan ada skim insurans atau perlindungan takaful. Bagi Kerajaan Negeri, saya telah berjumpa dengn satu syarikat dan pihak tersebut bersetuju dengan satu skim insurans perlindungan untuk mereka yang buat rondaan itu.

“Dengan persetujuan itu juga maka Kerajaan Negeri bersetuju untuk menanggung skim insurans bagi 1,000 peserta pertama yang terlibat dalam rondaan ini. Sekiranya berjaya skim rondaan itu akan diperluaskan ke kawasan perumahan pangsapuri yang lain.

“Bagi 1,000 peserta pertama ini kalau dua kawasan awal tidak mencapai jumlah itu maka akan diteruskan dengan kawasan perumahan lain,” katanya.

ends

Leave a Reply

Your email address will not be published.