Categories
SELANGOR

Bangunan Lama JAIS Klang Diwartakan Bangunan Warisan


KLANG, 6 JULAI : Landskap seni bina bandar Klang akan diperkayakan lagi dengan satu lagi bangunan lama yang akan diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang di Jalan Dato Hamzah berusia genap 100 tahun akan dipelihara kerana sejarah dan seni binanya yang unik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, bangunan tersebut dibina pada tahun 1912 dan mengalami pelbagai proses perubahan pentadbiran.

Menyingkap kembali sejarah bangunan tersebut Marzuki berkata, bangunan ini pada asalnya merupakan Istana Hinggap Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Suleiman yang merupakan Sultan Selangor pada ketika itu.

“Namun begitu, pada tahun 1941, bangunan ini berpindah milik dan dijadikan markas pemerintahan Jepun dan dikenali sebagai JUNTAI,” katanya.

Katanya, pada tahun 1949, Pejabat Lembaga Bandaran Klang mengambil alih bangunan ini sebagai pejabatnya dan akhirnya pada tahun 1965 diserahkan kepada JAIS.

Walaubagaimanapun, JAIS diarahkan berpindah ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1977 dan bangunan lama ini dijadikan Pejabat Agama Islam Daerah Klang dan Mahkamah Tinggi/Rendah Syariah sehingga tahun 2010.

Marzuki berkata demikian di dalam ucapan ajlis penyerahan bangunan ini kepada PADAT di sini hari ini.

Majlis bersejarah ini dihadiri Orang Kaya Maha Bijaya Klang, Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir, Pengerusi PADAT, Dr Shafie Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman dan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Klang, Abdul Malek Ramli.

Pengerusi PADAT, Dr Shafie berkata, usaha akan dijalankan bagi memulihara bangunan ini sebagai suatu warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

“Bangunan ini barangkali sudah ditinggalkan beberapa tahun dan terdapat keuzuran dan kerosakan yang perlu dibaikpulih dan perlu dipelihara sebagai suatu sejarah kerana keunikkannya,” katanya yang juga Adun Bangi.

Selain itu, majlis bersejarah ini juga menyaksikan upacara pertukaran dokumen dan pemberian kunci bangunan diantara JAIS dan PADAT sebagai simbolik kepada penyerahan bangunan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.