Categories
SELANGOR

Isu Air: MB Tidak Mahu Rakyat Selangor Tertipu Walau 1 Sen

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan memastikan rakyat negeri ini tidak ditipu dengan permainan politik Umno-BN dan pihak yang memiliki kepentingan dalam industri pengurusan airnya.

Demikian tegas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam perbahasan di Dewan Undangan Negeri Selangor pagi tadi

“Kalau 50 sen kita pergi ke poket orang lain, lebih baik kita masukan ke dalam poket rakyat Selangor.

“Kita mewakili rakyat Selangor tidak mahu rakyat tertipu satu sen pun,” kata Abdul Khalid.

Menurut Abdul Khalid, rakyat negeri itu akan mengalami kerugian sekiranya perjanjian antara Kerajaan Pusat, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Kerajaan Negeri di bawah BN yang dimeterai pada awal 2008 diteruskan.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri tetap mempertahankan keperluan mengambilalih pengurusan air di negeri itu demi kepentingan rakyat negeri ini.

Ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang, Datuk Satim Diman (BN-Sri Serdang), Abdul Khalid menjelaskan pegangan saham sebanyak 30 peratus tidak memberikan Kerajaan Negeri kuasa membuat keputusan dalam Syabas.

“Walaupun kita ada 30 peratus pegangan saham dalam Syabas, perjanjian penswastaan air itu tidak menyelesaikan harga-harga air sebab perjanjian itu ditandatangani dengan mengambil kira tarif air dinaikkan.

“Dalam undang-undang share holding, jika dalam mesyuarat agung, pihak yang ada syer 70 peratus, kita 30 peratus.

“Jika pemegang syer 70 peratus berikan usul, usul dia tetap berjalan,” kata beliau lagi.

Dalam isu sama, Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali pula berkata Syabas gagal menguruskan projek penswastaan air di Selangor.

“Masalahnya bukanlah kekurangan air mentah, tetapi adalah kurangan air yang dirawat.

“Kekurangan air terawat adalah tanggungjawab Syabas bukanlah Kerajaan Negeri.

“Ini bermakna Syabas telah gagal menguruskan projek penswastaan air ini dengan bertanggungjawab

“Masalah ketiga adalah NRW (Air Tidak Berhasil) di mana kebocoran paip air lama yang tidak diganti kecurian air oleh individu dan industri.

“Ini juga bukan tanggungjawab Kerajaan Negeri tetapi Syabas yang tidak menggantikan paip-paip lama dan membuat penguatkuasaan yang tegas,” kata Azmin.

Leave a Reply

Your email address will not be published.