SHAH ALAM 27 JUL : Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan pemberian bonus raya kepada kakitangan Kerajaan Negeri bukan gula-gula Pilihanraya Umum ke 13 seperti digemburkan media pro-BN.
Sebaliknya beliau berkata, pemberian pada tahun 2012 ini adalah sama dengan pemberian tahun lepas iaitu bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum sebanyak RM 600 dan RM300 kepada Guru KAFA.
“Pemberian diberikan kepada anggota perkhidmatan awam di bawah Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan badan kerajaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Pemberian bayaran minimum sebanyak RM 600 kepada anggota yang berpendapatan rendah pula adalah berasaskan kepada prinsip pemberian yang sama yang diberi pada tahun lalu,” ulas beliau dalam satu kenyataan medianya.
Bagaimanapun, Guan Eng mengakui pemberian bonus tahun ini meningkat berbanding tahun lepas dengan perbelanjaan sebanyak RM3.9 juta.
“Ini adalah kerana mengambil kira bilangan penjawat awam yang telah bertambah kepada 3, 780 orang berbanding tahun lalu hanya 3,645 orang.
“Kita juga mengambil kira kenaikan gaji tahunan anggota-anggota perkhidmatan awam dan kadar kenaikan gaji 13 peratus yang diselaraskan pada April lalu,” jelasnya.
Beliau menambah, pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum sebanyak RM 600 juga terpakai kepada kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan-badan Berkanun Negeri.
“Namun ia adalah dipertanggungkan kepada peruntukan mengurus pentadbiran masing-masing dan bukan kepada Kerajaan Negeri,” kata beliau yang turut mengumumkan pemberian bonus akan diperakaunkan pada 9 Ogos nanti.