Categories
NASIONAL SELANGOR

Pusat Di Cabar Hentikan Keluar Lesen Rumah Urut

PETALING JAYA, 27 JULAI: Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu mencabar kerajaan persekutuan supaya menghentikan pengeluaran lesen bagi premis rumah urut selain menutup premis sedia ada di semua negeri yang ditadbiran Barisan Nasional.

Perkara ini dilontarkan memandangkan sebelum ini pelbagai pihak mendakwa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengeluarkan banyak lesen premis rumah urut sejak Pakatan Rakyat mengmbil alih pentadbiran.

Menurut Ronnie, sejak tahun 2006, tiada lesen baru premis rumah urut baru dikeluarkan kepada mana-mana pihak sebaliknya memantau operasi perniagaan yang diwarisi daripada pemerintahan Umno-BN.

“Kalau fikir semua rumah urut buat kegiatan maksiat, saya minta Menteri Dalam Negeri perlu menghentikan permit pekerja asing. Saya cabar negeri di bawah BN tutup sekali (rumah urut), Selangor akan ikut,” katanya.

Katanya, premis rumah urut sedia ada masih boleh operasi kerana mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Pihak berkuasa hanya akan mengambil tindakan membatalkan lesen premis berkenaan sekiranya melanggar peraturan.

Sementara itu, Ronnie Liu turut mengemukakan statistik penguatkuasaan di PBT dari Januari sehingga 15 Julai 2012 bagi pusat siber dan pusat kecantikan atau rumah urut.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempunyai 108 premis pusat siber telah berjaya menyita 2,619 barangan dan menyaksikan 13 daripada premis berkenaan ditutup hasil 38 operasi yang dijalankan.

Bagi pusat kecantikan atau rumah urut pula melibatkan 253 premis telah disita daripada jumlah keseluruhan 85 buah premis hasil daripada 17 operasi yang dijalankan dan turut melibatkan 14 tangkapan.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula telah membuat sitaan terhadap 333 premis pusat siber dari jumlah keseluruhan sebanyak 340 premis hasil daripada 472 operasi yang dijalankan. Keadaan ini turut membabitkan 5 premis ditutup akibat melanggar peraturan.

Hasil daripada 452 operasi pusat kecantikan atau rumah urut yang dijalankan oleh MBPJ, hanya 30 premis dari keseluruhan 1,050 premis di kawasan MBPJ telah disita manakala 20 premis berdepan tindakan ditutup sepenuhnya.

Jelas beliau, PBT perlu mencari inisiatif terbaik untuk mengatasi masalah rumah urut dengan menjalankan operasi lebih kerap selain menjalinkan kerjasama erat dengan polis yang mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan dan serbuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.