Categories
NASIONAL

Kontroversi Akta Keterangan, Najib Terus Terburu-Buru

SHAH ALAM 17 OGOS : Keputusan Kabinet berhubung pindaan undang-undang kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 baru-baru ini menyerlahkan sikap ‘terburu-buru’ kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Demikian ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika mengulas mengenai pindaan Seksyen 114A terhadap Akta Keterangan yang digazetkan pada 31 Julai lalu berkenaan internet dan rangkaian sosial.

Menurutnya, tindakan Najib itu disifatkan sebagai tergopoh-gapah terutama dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan pindaan Akta ke dalam Parlimen.

“Kelemahan Najib ialah beliau tidak mempunyai fokus dalam setiap perkara yang dilakukan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan pindaan akta atau rang undang-undang. Antara yang ketara ialah penarikan semula cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Selain itu, pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan beberapa projek lain yang kemudiannya ditarik balik. Pindaan ini juga biasanya dibuat tanpa perbincangan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat juga dilihat ‘separuh masak’ sehingga ia kemudian terpaksa ditarik balik.

Pindaan akta kontroversi tersebut diluluskan Dewan Rakyat April lalu dan digazetkan sebagai undang-undang oleh Datuk Seri Nazri Aziz pada bulan Julai baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Senator MCA, Gan Ping Sieu antara individu yang menyokong protes yang semakin membesar terhadap undang-undang baru itu.

Kempen menentang undang-undang tersebut turut disokong Majlis Peguam dan Pakatan Rakyat yang ‘memggelapkan’ laman web mereka sempena kempen memboikot internet tempoh hari.


Leave a Reply

Your email address will not be published.