Categories
NASIONAL

Nurul Izzah : Kerajaan Dwi Standard Dalam Perlaksanaan AUKU

KUALA LUMPUR 30 OGOS : Sikap dwi standard Kerajaan Umno-BN berkenaan perlaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) amat mengecewakan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Kekecewaan ini timbul apabila tindakan Pemuda Umno yang mahu mendekati golongan mahasiswa seolah-olah tidak mendapat restu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Sikap ini amat mengecewakan ketika Universiti Malaya telah mengemaskini peraturan tatalaku para mahasiswa berkenaan penglibatan dalam arena politik.

“Saya memuji langkah pihak Universiti yang maju ke hadapan dalam melaksanakan perubahan berdasarkan undang-undang walaupun ia lapuk dan mencacatkan proses transformasi yang diuar-uarkan selama ini. Sekurang-kurangnya Universiti Malaya tidak bermuka-muka dalam menegaskan pendirian anti-demokratiknya dalam penguatkuasaan AUKU,” tegas Izzah.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) mengandungi sekatan yang merugikan dan menafikan para Mahasiswa sebuah pendidikan yang lebih holistik.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR menegur pengamalan dwistandard dalam perlaksanaan undang-undang yang lapuk ini kerana ternyata sayap Pemuda Umno menyetujui langkah proaktif PKR yang menubuhkan Mahasiswa Keadilan dengan lebih awal.

Initiatif sayap Pemuda Umno untuk mendekati mahasiswa bagi mendapatkan sokongan politik adalah bukti sokongan mereka terhadap memperkasakan para mahasiswa dari cengkaman AUKU.

Justeru, saya menjemput Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk bersama-sama mengambil langkah proaktif dalam kewujudan kaukus penggantian AUKU dalam sidang Parlimen seterusnya untuk menangani isu ini.

Jelas terdapat persefahaman bahawa para mahasiswa harus bebas dalam perjuangan mereka dalam meningkatkan kesedaran sosial dan perlunya mereka mengambil bahagian dalam pembangunan negara dengan lebih aktif berbanding dengan peranan pasif yang dikelolakan oleh Umno-BN melalui cengkaman AUKU.

Kata Izzah, PKR tetap dengan pendiriannya bahawa tatakelakuan yang baru dikemaskini berdasarkan AUKU adalah tidak relevan dan menyekat semangat kebebasan akademik.

Oleh itu, PKR akan meneruskan perjuangan dengan memasuki kampus kerana tanggungjawab pemupukan minda yang terbuka, berdikari, dan mempunyai kesedaran sosial adalah penting dalam melahirkan mahasiswa yang akan menyelamatkan negara kita dari apa kemelut sekalipun.

“AUKU mematikan nadi yang memperkasakan para mahasiswa sebagai sebuah entiti berintelek tinggi yang mempunyai hak demokrasi dan budaya pembelajaran yang perlu dihormati oleh setiap individu, selaras dengan hak-hak yang digariskan di dalam Perlembagaan Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.