Categories
SELANGOR

PPR Damansara Tak Perlu Risau, MBPJ Jamin Baiki Kerosakan Tangki Air

PETALING JAYA 10 OGOS: Penduduk Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara tidak perlu lagi bimbang berikutan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) hari ini memberi jaminan akan membaiki kerosakan tangki air yang berlaku di pangsapuri empat blok itu.

Kerosakan tersebut berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pengumpul barangan lusuh mencuri kurungan besi (braket) pada tangki air di empat blok A,B,C dan D pangsapuri tersebut untuk dijual sebagai besi buruk.

Dianggarkan sejumlah 250 keping braket dicuri dari tangki-tangki air yang digunakan oleh 1152 unit kediaman di situ.

Kehilangan braket yang dipercayai berlaku sebelum pintu ke tangki air dikunci dan dipasang ‘grill’ pada Mei tahun ini menyebabkan berlaku kebocoran air di pangsapuri setinggi 18 tingkat setiap satu blok itu.

Setiausaha Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Kamarulzaman Ahmad Noh memberitahu nilai sebenar kerosakan hanya akan diketahui apabil Jabatan Penilaian membuat penilaian terhadap kerosakan yang berlaku ini.

“Jabatan Penilaian akan nilaikan terlebih dahulu, tetapi anggaran kasar untuk mengikat braket baru dijangka melebihi RM100 ribu.

“Sebelum ini MBPJ dan baiki blok A dan selepas ini blok B,C dan D pula.

Menurut jurutera di Jabatan Jurutera MBPJ, Azhar Zakaria, beberapa langkah tambahan sebagai langkah berjaga-jaga juga telah diambil.

“Untuk mengelakan dari dicuri, kita bukan sahaja ikat dengan skru tetapi ia akan dipatri sekali.

“Jadi bila dah dipatri ia memang susah nak dicuri,” kata Azhar.

Sementara itu, menurut Eksekutif Bangunan dari Nilsham Resources, Noraslina Abd Hamid, pada masa ini seramai lima orang anggota keselamatan ditempatkan selama 24 jam sehari di blok-blok terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berlaku lagi.

“Dua anggota bertugas malam dan tiga lagi pada waktu siang untuk cegah kecurian dan kejadian jenayah lain,” kata Noraslina.

Noraslina turut mengesa penduduk pangsapuri terbabit agar segera melaporkan kepada pejabat pengurusan harta di blok C atau pengawal bertugas dan polis sekirannya mengesyaki mana-mana pihak yang terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.