Categories
NASIONAL

Siber Kafe dan Longkang Tersumbat Akan Dipantau MPS

SELAYANG, 1 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang(MPS) akan melakukan pemeriksaan dan pemantauan lebih kerap di semua kafe siber di Selayang dan Gombak supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Ketua Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Azmi Ismail mencadangkan supaya setiap premis kafe siber di bawah MPS diperiksa lebih kerap bagi membendung kegiatan yang tidak sihat berlaku.

“Lambakan kafe siber perlu diberi perhatian sewajarnya dan saya akan berbincang dengan polis bagi mengadakan operasi bersepadu dengan lebih kerap lagi,” katanya ketika Mesyuarat Bulanan MPS di Bangunan MPS hari ini.

Perkara ini dipersetujui oleh Yang Dipertua MPS, Datuk Zainal Abidin Aala sambil menyatakan kerjasama bersama polis perlu dieratkan di masa hadapan.

Mesyuarat bulanan ini diadakan kali ke tujuh tahun ini dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPS, Mohamad Zain Abd Hamid, pengarah jabatan dan ahli-ahli Majlis MPS.

Selain itu, cadangan menambahbaik masalah saliran seperti longkang tersumbat di kawasan-kawasan perumahan di sekitar Bandar Baru Selayang turut dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis MPS yang terlibat.

Kebanyakan ahli Majlis meminta MPS melipat andakan usaha dengan menambah kontraktor-kontraktor bagi membersihkan longkang-longkang ini supaya tiada perkara buruk yang berlaku seperti kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.