Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Rasmi Masjid RM5.27 juta, Serah Sumbangan Raya

SABAK BERNAM 11 OGOS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam berkenan berangkat merasmikan Masjid Kampung Binjai Jaya dan menyampaikan sumbangan hari raya dalam majlis berbuka puasa bersama rakyat di kampung tersebut.

Pembinaan Masjid Kampung Binjai Jaya yang menelan belanja RM5.27 juta itu mula dibina pada 2007 dan siap pada 2010.

Ia juga mampu menampung seramai 1,000 jemaah dalam satu masa.

Dalam titah ucapannya, baginda mengingatkan agar umat Islam di Selangor tidak menggunakan institusi Masjid sebagai tempat untuk berpolitik.

Menurut baginda, tindakan seperti itu akan memecah belahkan umat Islam di negeri itu.

“Titah Beta ini meliputi semua parti politik samada parti pemerintah atau parti pembangkang,” titah baginda kepada masyarakat di kampung itu.

Sultan Sharfuddin juga menyeru agar rakyat Selangor sentiasa berfikiran positif dan sentiasa berprasangka baik sesama sendiri.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama berfikiran positif, bersangka baik, serius dan ikhlas dalam melaksanakan segala kewajipan dan suruhan daripada Allah SWT,” titahnya.

Selain itu, Sultan Sharafuddin mahu agar masyarakat negeri ini tidak mensia-siakan kemudahan rumah ibadat yang disediakan itu dan menjaga serta diurus dengan baik.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira hampir seribu masyarakat Kampung Binjai Jaya dan kampung-kampung berhampiran itu, baginda turut menyerahkan sumbangan hari raya kepada 145 orang anak yatim, 109 fakir dan miskin serta 126 orang saudara baru.

Turut mengiringi Sultan Sharafuddin dalam majlis itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published.