KUALA SELANGOR, 5 OGOS : Program Tadarus dan Tadabbur Perdana Selangor tahun ini memberi peluang kepada umat Islam berkumpul di masjid dan surau bagi mempelajari bacaan Al Quran dan menghayatinya.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata program tersebut dilancarkan bersesuaian dengan Ramadan di mana semua umat Islam menjalani ibadah puasa.
Katanya, program tersebut diadakan di masjid dan surau sekitar Kuala Selangor dengan harapan ia turut dipanjangkan di seluruh Selangor.
“Tujuannya untuk menggalakkan umat Islam iaitu muslimin dan muslimat untuk datang ke masjid dan surau di mana program ini adalah program masyarakat.
“Mereka dapat berkumpul bersama-sama dengan membaca Al Quran dan saling mengajar antara satu sama lain. Tiada siapa dikecualikan dan semua digalakkan.
“Dalam Islam semua ahli masyarakat perlu bersama iaitu siapa yang bagus menolong mereka yang kurang bagus dan siapa yang berada menolong mereka yang kurang berada terutama dalam bulan Ramadan ini,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran majlis tersebut di sini hari ini.
Program Tadarus adalah majlis pembacaan Al Quran manakala Tadabbur pula adalah majlis memahami dan menghayati ayat-ayat Al Quran.