Categories
NASIONAL SELANGOR

Larangan Kenderaan Berat akan di Warta Elak Kesesakan

 

SUBANG JAYA 26 SEPT : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengambil inisiatif mewartakan Perintah Pengangkutan Jalan (Larangan Kenderaan Berat) bagi mengatasi masalah kesesakan lalulintas di Persiaran Kewajipan dan Persiaran Tujuan.

Inisiatif ini diambil mengikut Seksyen 70 (2) di bawah Seksyen 67 Akta Pengangkutan Jalan di mana pihak majlis mempunyai kuasa mengisytiharkan mana-mana jalan ditutup atau dihadkan penggunaan bagi kelas-kelas kenderaan tertentu.

Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata tindakan kompaun boleh dikenakan sekiranya terdapat pihak masih berdegil menggunakan laluan tersebut di waktu puncak.

“Ini tidak terkecuali kepada mana-mana kenderaan berat termasuk kenderaan mengangkut sampah.

“Bukan sepanjang hari, ada waktu-waktunya jadi mereka perlulah menyusun waktu perjalanan mereka dan akur dengan keputusan kita,” ujarnya dalam sidang media sejurus menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pembayar cukai tengah hari tadi.

Tempoh larangan tersebut dikenakan kepada kenderaan berat dengan muatan melebihi 10, 000 kilogram bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan 4.30 petang hingga 7.30 malam.

Jika terdapat pihak ingkar arahan berkenaan, denda maksimum RM 300 oleh pihak MPSJ, pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah juga, mereka boleh didenda tidak melebihi RM 1, 000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.