Categories
NASIONAL SELANGOR

MDKL Pantau Pelajar Ponteng di Pusat Siber

KUALA LANGAT 26 SEPT : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan bekerjasama dengan pihak polis dalam meningkatkan pemantauan terhadap kafe siber bagi membanteras gejala ponteng sekolah.

Pemangku Yang Dipertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari berkata pemantauan itu melibatkan pusat siber di sekitar Kuala Langat termasuk di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap pengusaha kafe siber yang membiarkan premis mereka dijadikan tempat pelajar ponteng sekolah berkumpul.

Beliau berkata pihaknya banyak menerima aduan daripada pihak sekolah dan ibu bapa berhubung perkara terbabit.

Katanya, berdasarkan aduan, kebimbangan para ibu bapa terserlah apabila mendapati ada anak-anak mereka terleka dan pulang ke rumah lewat malam.

“Masalah ini biasanya melibatkan pelajar sekolah rendah yang berusia 12 tahun ke bawah, sedangkan jika mengikut peraturan golongan mereka ini hanya dibenarkan memasuki premis ini dengan ditemani penjaga.

“Ada juga diantara mereka yang mula berkumpul di premis ini selepas waktu sekolah seterusnya pulang ke rumah pada jam 1 pagi selepas premis itu ditutup,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MDKL.

Tambahnya, bahagian kawalan perniagaan MDKL akan berbincang dengan pusat siber terbabit bagi mencari alternatif lain supaya menghadkan masa beroperasi bagi golongan pelajar itu.

“Kami tidak mahu pusat siber ini menjadi masalah kepada masyarakat. Pelajar digalakkan ke pusat siber hanya untuk tujuan akademik, bukan bermain permainan komputer dan berjudi. Ini boleh merosakkan mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.