Categories
NASIONAL

PR : Lelong AP Kepada Rakyat Juga Jana Pendapatan Negara

KUALA LUMPUR 14 SEPT: Pakatan Rakyat (PR) akan menjual permit kereta atau AP kepada rakyat secara tender terbuka apabila memerintah Putrajaya nanti.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata jika ini berlaku, negara dijangka memperolehi RM3 bilion pada tiap-tiap tahun untuk tempoh tiga tahun dalam masa yang sama masih mengekalkan sistem AP yang ada kini.

“Sekarang semua duit itu masuk poket tokey-tokey. Kita cadangkan dilelong terus kepada rakyat.

“Bila ini dilakukan, soal negara hilang pendapatan atau muflis itu tidak timbul kerana ada lebihan wang sebenarnya di sini,” katanya.

Beliau percaya, tempoh tiga tahun pertama pemerintahan PR sekiranya berjaya mentadbir negara mampu untuk mengimbangi perbelanjaan dengan amalan tanpa rasuah dan korupsi bagi memastikan tahun keempat dan kelima perbelanjaan negara menjadi stabil melalui langkah penghapusan cukai eksais dan penurunan harga kereta.

Selain itu, penurunan harga kereta ini juga  membuka peluang negara menjana pendapatan melalui industri eksport kenderaan dan alat ganti terpakai ke luar negara.

Perkara ini sekaligus mengikut jejak langkah yang dibuat oleh beberapa negara di Asia Tenggara dan Jepun yang menetapkan tempoh tertentu bagi penggunaan sesebuah kenderaan sebelum dilupuskan.

“Kita ada rundingan dengan persatuan penjual kereta dan kredit kereta Selangor/Kuala Lumpur pada Rabu. Antara perkara yang mereka cadangkan dan selari dengan idea kita adalah dasar pelupusan dengan adanya kereta murah.

“Kita memperbaiki semula kereta dan kita eksport. Itu akan menimbulkan industri baru. Mereka (penjual kereta) bukan hanya ingin bersaing untuk menjual kereta sahaja, biar mereka bersaing dalam pasaran kereta recon.

“Tugas kerajaan bukan sahaja memberikan subsidi tetapi membuka pasaran ketiga agar mereka meneroka peluang industri automotif di negara lain,” katanya.

Dalam forum ‘Turunkan Harga Kereta’ beliau menjelaskan, masalah trafik di Malaysia disebabkan beberapa faktor di mana ramai orang menggunakan kereta dengan istilah ‘First-in, Never-out’ yang memerlukan tempoh yang panjang bagi menyelesaikan hutang kereta sebelum mengambil keputusan untuk menukar kepada model yang baru.

Selain itu, beliau mencadangkan agar satu dasar yang mewajibkan rakyat menukar kereta pada setiap tahun tertentu diperkenalkan dengan syarat harga kereta perlu diselaraskan agar tidak membebankan misalnya pada kadar RM20,000 hingga RM30,000.

Rafizi mengakui negara akan kehilangan sumber pendapatan dari cukai eksais sebanyak RM7 bilion melalui dasar penurunan harga kereta dan perkara ini bukannya dilakukan secara terus sebaliknya secara berperingkat.

Ujarnya lagi, kecenderungan rakyat Malaysia membeli kenderaan bukannya atas dasar suka mengumpul kereta sebaliknya merupakan satu keperluan.

“Berdasarkan statistik terbaru oleh Jabatan Statistik Malaysia, 3/4 daripada isi rumah di Malaysia mempunyai paling kurang satu kereta. Perkara ini menunjukkan kereta satu keperluan tidak kira miskin atau kaya.

“Kalau tidak ada cukai tambahan, orang tidak akan beli untuk tambah kereta baru tetapi mereka tukar kepada yang lebih baik. Misalnya sekarang saya menggunakan kereta Honda yang lama, saya mungkin akan mencari kereta Jepun yang lebih baik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.