Categories
NASIONAL

Umat Islam Diseru Bantah Penerbitan Video Hina Nabi Muhammad S.A.W

SHAH ALAM 13 SEPT : Pemuda PAS Pusat menyeru umat Islam di seluruh negara untuk mengadakan satu himpunan aman di peringkat negeri untuk menyatakan bantahan dan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan video yang menghina Nabi Muhammmad S.A.W.

Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata setiap negeri diminta untuk mengadakan himpunan aman tersebut pada Jumaat ini.

“Pemuda PAS berharap agar setiap pelusuk tanah air umat Islam di Malaysia dapat turun untuk meramaikan himpunan ini,” kata Khairul Faizi dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau, Pemuda PAS meminta agar Kedutaan Amerika Syarikat menyelesaikan isu ini dengan segera.

Ujarnya, penerbit filem tersebut dilaporkan menggunakan filem ini untuk kempennya di sana.

“Pemuda PAS juga mendesak kerajaan Malaysia yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk segera mengambil tindakan agar pihak kerajaan Amerika Syarikat dapat menyelesaikan isu filem yang mencetuskan kemarahan umat Islam sedunia,” katanya.

Menurut Khairul Faizi, Pemuda PAS membantah paparan video seperti ini yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Bagi Pemuda PAS , sebagai umat Islam, kita wajib cakna dan rasa marah dengan isu yang dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu ini.

Sebelum ini, ?Times of Israel? melaporkan filem ini merupakan kempen daripada pelampau anti-Muslim Egyptian Christian di Amerika Syarikat.

Filem yang melabel Nabi Muhammad S.A.W sebagai ?fraud, a womanizer and a madman? ini telah mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara timur tengah seperti Mesir dan Libya.

“Filem ini telah dihasilkan sepenuhnya oleh Sam Bacile dengan paparan Islam sebagai agama kebencian yang mendapat suntikan dana sebanyak $5 juta daripada 100 penderma Yahudi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.