Categories
NASIONAL SELANGOR

Garis Panduan Serius Atasi Pencerobohan tanah

KUALA LUMPUR, 9 OKT : Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin meminta Kerajaan Pusat mengeluarkan satu garis panduan bagi menangani masalah pencerobohan tanah di kawasan projek perumahan elit.

Mengambil kira pengalaman bencana tanah runtuh beberapa tahun yang lalu, perkara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan projek lebuhraya Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) turut melibatkan tanah rizab hutan di kawasan Ampang.

“Menurut Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ampang mempunyai sejumlah 600 cerun dan 2 dari cerun tersebut dikenalpasti oleh pihak berkuasa tempatan sebagai berada dalam keadaan kritikal.

“Keadaan ini seperti bom jangka dan boleh mengakibatkan malapetaka berlaku pada bila-bila masa,” katanya pada sesi perbahasan Bajet 2013 di parlimen hari ini.

Menurut Zuraida, kawasan-kawasan yang dikenalpasti ialah Taman Bukit Utama dan Taman Hillview yang kedua-duanya adalah kawasan perumahan yang matang dan berkependudukan sederhana padat.

Jelasnya yang juga Ketua Wanita PKR, RM70 juta yang diperuntukkan untuk memperkukuhkan cerunan bukit yang berisiko tinggi di Bukit Antarabangsa selepas kejadian tanah runtuh adalah langkah jangka pendek dan tidak cukup untuk mencegah perkara yang lebih buruk dari berlaku.

“Cawangan Kejuruteraan Cerun melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan kajian demi kajian dan mengenalpasti bahawa kejadian tanah runtuh di kawasan Ampang itu adalah hasil daripada kerja-kerja mengorek dan mengambus tanah.

“Kerja-kerja ini bagi memberi laluan pada projek perumahan selain sistem perparitan yang tidak seragam,” ujar beliau lagi.

Ampang adalah sebuah kawasan berbukit-bukau yang sangat terkenal dengan dengan beberapa siri kejadian tanah runtuh bermula dengan peristiwa hitam Highland Towers dan yang terkini kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa

Dalam kejadian pada tahun 2009 mengorbankan lima nyawa serta kerugian harta benda penduduk kawasan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published.