Categories
SELANGOR

Generasi Muda Perlu Terus Warisi Tradisi Permainan Kompang

SHAH ALAM, 30 OKT : Seni Kompang yang menjadi salah satu budaya kesenian masyarakat Melayu di negara ini perlu dikekalkan agar warisan ini tidak pupus ditelan kemajuan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi berkata, Negeri Selangor perlu mempunyai identiti cara permainan kompangnya yang tersendiri agar keunikan itu dapat dijelmakan dalam kepelbagaian seni permainannya di negara ini.

Katanya, beliau akan terus mendukung usaha aktiviti-aktiviti memartabatkan budaya kompang ini agar terus berkekalan menjadi identiti unik masyarakat Melayu.

Malahan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) disaran terus melaksanakan aktiviti penulisan dan pendokumentasian berkaitan budaya kompang agar dapat dimanfaatkan oleh semua.

“Diharap kita dapat terus berusaha memartabatkan seni kompang ini supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

“Melalui bengkel ini diharap peserta dapat menimba ilmu dan bukan sekadar program sekali sahaja dan dapat diperkembangkan ke peringkat daerah-daerah di negeri Selangor supaya dapat menghidupkan budaya kompang,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 peserta Bicara Seni Kompang Tradisi Melayu yang diadakan di Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi PADAT, Dr Shafie Abu Bakar.

Dr Yunus juga berkata, tradisi pembuatan kompang juga perlu dihidupkan oleh generasi muda agar dapat memupuk semangat mencintai kesenian Melayu disamping memperkembangkan permainan itu di peringkat yang lebih luas.

“Kita mahu terus menghidupkan kebudayaan masyarakat Melayu yang juga sebagai alat perpaduan masyarakat.

“Diharap selepas ini lebih ramai anak-anak muda dan juga belia terus dapat memainkan kompang dan bukan hanya orang-orang veteran,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.