Categories
NASIONAL SELANGOR

Guru, Pelajar SAR Bantah Bajet 2013 Di Parlimen

KUALA LUMPUR 11 OKT : Kira-kira 2,000 guru dan pelajar dari Sekolah Agama Rakyat seluruh negara berhimpun di pintu pagar Parlimen hari ini bagi membantah pengabaian peruntukkan SAR dalam pembentangan Bajet 2013, baru-baru ini.

Mereka berhimpun seawal jam 9 pagi dengan membawa kain rentang yang tertulis ‘mana hak kami dalam Bajet 2013’, ‘kami pembayar cukai’ dan ‘kembalikan hak SAR dalam bajet’.

Turut bersama mereka, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Madya Zainal Abidin Kidam Universiti Selangor (UNISEL); Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Turut serta Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Yunus Hairi dan Ronnie Liu.

Satu memorandum berhubung tuntutan peruntukkan dalam Bajet 2013 dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zainal selaku Pengerusi program berkata pihaknya kesal dengan pengabaian peruntukkan untuk pendidikan Islam oleh Kerajaan Pusat sejak lebih 50 tahun mentadbir negara.

Katanya, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat juga tidak dinyatakan secara khusus mengenai Pendidikan Islam di negara ini.

“Perbelanjaan untuk Pendidikan Islam penting. Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jauh lagi sedikit berbanding ibu bapa yang mengeluarkan wang untuk pendidikan ini bagi anak-anak mereka.

“Kita meminta mereka memberi peruntukkan ‘normal bajet’ bukannya ‘one off’ bajet seperti yang biasa mereka berikan,” katanya kepada pemberita selepas bantahan itu.

Tambahnya lagi, Kerajaan Pusat seharusnya memberikan peruntukkan sewajarnya bukannya hanya dengan memberi ‘sedekah’.

Dianggarkan terdapat sebanyak 800,000 pelajar yang menghadiri SAR diseluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published.