JKM Didakwa Gagal Bayar Bantuan Bulanan Kanak-Kanak Bulan Oktober

SHAH ALAM 5 OKT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digesa menjelaskan kegagalan jabatan tersebut mengeluarkan bayaran kepada penerima bantuan kanak-kanak bagi bulan Oktober yang sepatutnya dibuat pada 2 Oktober lalu.

Kegagalan JKM membuat makluman awal menyebabkan para penerima bantuan terpaksa menghadapi kesulitan untuk menyara kanak-kanak di bawah tanggungan mereka.

Demikian menurut Exco Kebajikan, Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail kepada TV Selangor hari ini.

“Jika bantuan ini dihentikan bukan disebabkan kehilangan kelayakan, apa akan berlaku kepada keluarga penerima?

“Jadi tindakan proaktif itu perlu dibuat dan JKM tak boleh sekadar memberhentikan bantuan, tetapi apa tindakan sokongan lain juga perlu difikirkan,” kata beliau.

Rodziah juga berkata, kementerian bertanggungjawab seharusnya memohon peruntukan tambahan sekiranya peruntukan yang disediakan tidak mencukupi.

JKM merupakan sebuah jabatan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdahulu, Rodziah dimaklumkan bahawa penerima bantuan kanak-kanak sekurang-kurangnya melibatkan penerima bantuan di Daerah Petaling Jaya tidak menerima bantuan bulanan untuk bulan Oktober.

Bertindak dari maklumat tersebut, Rodziah mengambil tindakan menghubungi Timbalan Pengarah JKM Selangor, Mohd Hasbi Abd Rashid untuk mendapat penjelasan lanjut.

Menurut Rodziah, Hasbi memaklumkan kepada beliau bahawa pihaknya tidak mengetahui apa-apa berkenaan isu yang dikemukakan.

Bagaimanapun, Pegawai JKM Petaling Jaya, Surnani Masturi ketika dihubungi TV Selangor memberitahu, kegagalan bayaran bantuan kanak-kanak bagi bulan Oktober dibuat disebabkan masalah teknikal di peringkat JKM negeri.

“Ia bukan diperingkat kami, kami di peringkat daerah sediakan voucer kepada JKM negeri dan JKM negeri proses untuk buat bayaran.

“Kami cuma dimaklumkan oleh JKM negeri, ada masalah teknikal yang menyebabkan bayaran gagal dibuat, tetapi masalah teknikal yang bagaimana saya tak tahu,” ujar Surnani.

Leave a Reply

Your email address will not be published.