Categories
NASIONAL

Kajian Bank Dunia: Gaji Minima RM1,100 Tak Mufliskan Negara

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kajian Bank Dunia menyatakan gaji minima RM1,100 yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat (PR) tidak akan menyebabkan negara muflis sepertimana dakwaan pemimpin Umno- BN.

Sebaliknya dasar tersebut mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja warga asing dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Manakala satu kajian lain di Indonesia pada 1990 pula merumuskan bahawa perlaksanaan dasar gaji minima bukan sahaja tidak akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran malah dapat mewujudkan perniagaan baru, peluang perkerjaan dan merapatkan jurang kekayaan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam forum bertajuk ‘Bagaimana PR Akan Membelanjakan Wang Rakyat’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.

Ketika menyentuh dasar gaji minima RM900 Kerajaan Pusat, Charles berkata, tindakan tersebut tidak banyak memberi kesan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Mempunyai dasar gaji minima RM900, BN tidak beri banyak makna sebab ramai yang mempunyai gaji sebanyak itu,” kata Charles.

Charles juga menegaskan bahawa kerajaan hendaklah memberikan rebat cukai kepada industri kecil sepertimana yang dilaksakankan di Indonesia.

“Tetapi Selangor melakukannya iaitu dana peralihan, inilah kerajaan (Selangor) yang akan lindungi rakyat dan buat polisi yang baik,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, pula berkata Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak jelas tidak memberi impak besar terhadap kebajikan golongan wanita.

Sebaliknya dalam belanjawan PR pula pelbagai inisiatif diberikan kepada kaum wanita seperti caruman wanita nasional dan bantuan RM1,000 setahun kepada wanita berpendapatan kurang RM1,000 yang meninggalkan anak mereka di pusat jagaan kanak-kanak ketika berkerja.

“Untuk tujuan bantuan RM1,000 sebulan itu nanti, sebanyak RM3.16 bilion akan diperuntukan kerajaan nanti,” kata beliau dalam forum yang dikendalikan oleh moderatornya, Pengarah Startegi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Meng.

Terdahulu ketika merasmikan forum ‘Bagaimana PR Akan Membelanjakan Wang Rakyat’, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata kerajaan BN hari ini tidak menunjukkan usaha untuk mengekang peningkatan hutang negara.

“Mahu tak mahu, rela tak rela, kalau sesuatu kerajaan terus membenarkan defisit sepanjang 15 tahun, ini bukanlah sebuah kerajaan berhemah dan akhirnya apa yang akan jadi ialah kita akan meminjam wang untuk membiayai gaji,” kata beliau.

“Hutang Kerajaan Persekutuan telah pun naik dalam empat tahun ini lebih 80 peratus daripada RM266 bilion pada akhir 2007 kepada RM502 bilion pada akhir tahun 2011 dan ini pun tak diambil kira liabiliti tanggungan,” ujar Guan Eng.

Beliau menambah sekiranya liabiliti tanggungan atau tanggungan pinjaman dijamin kerajaan turut diambil kira, jumlah keseluruhan hutang negara mencecah RM618 bilion atau 65 peratus, melebihi paras 55 peratus hutang yang dibenarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.