Categories
NASIONAL

Misteri Kehilangan Item Penting Dalam Buku Anggaran Perbelanjaaan Persekutuan 2013

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Ketiadaan beberapa item penting yang wajib ada dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 menimbulkan tanda tanya samada wujud keadaan kerajaan Umno-BN mahu menyembunyikan sesuatu.

Antara item penting yang hilang ialah kedudukan Penyata Kewangan Pada 31 Disember 2012, Kumpulan Wang Berkanun Kerajaan Bagi Anggaran Kumpulan Wang Seperti 31 Disember 2012 dan Penyata Hutang Awam dan Jaminan Seperti 31 Disember 2012.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail penyata-penyata tahunan itu sebelum ini tidak pernah gagal dimasukkan dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan.

“Ini adalah penyata yang sangat penting dan saya tak fikir ia berlaku tanpa disengajakan.

“Bila penyata ini hilang, tentulah menimbulkan tanda tanya adakah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu,” kata Azan dalam sidang media yang diadakan di lobi parlimen hari ini.

Dalam sidang media tersebut, Azan turut menunjukkan buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan tahun sebelumnya yang mengandungi laporan-laporan hilang itu.

Beliau turut menuntut kerajaan Umno-BN agar bertanggungjawab dan harus memberikan jawapan atas ketiadaan penyata penting itu.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2013 diedarkan kepada Ahli Parlimen bagi memudahkan mereka membuat rujukan dan semakan terhadap Belanjawan 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu.

Turut berada dalam sidang akhbar sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne-Loh.

Leave a Reply

Your email address will not be published.