Categories
NASIONAL SELANGOR

Pei Nei – Segerakan Pembinaan Balai Polis Bandar Country Homes

KUALA LUMPUR, 15 OKT : Kementerian Dalam Negeri diminta menyegerakan pembinaan balai polis di Bandar Country Homes, Rawang kerana kadar jenayah kawasan itu semakin meningkat.

Pada masa kini, hanya 10 anggota polis bertugas di Balai Polis Komuniti Bandar Country Homes dan penduduk merasakan anggota tersebut tidak cukup untuk mengekang kadar jenayah di kwasan mereka.

Adun Rawang Gan Pei Nei berkata beliau sudah mengajukan surat kepada pihak polis pada tahun 2009 tetapi permintaan mereka tidak mendapat maklumbalas daripada kerajaan pusat.

“Penduduk yang datang kepada kita melihat sebagai satu permintaan yang mendesak,” katanya dalam satu sidang media

Turut hadir sama, Ahli Parlimen Selayang, William Yong dan wakil Jawatankuasa penduduk Bandar Country Homes, Gunaraj George.

Jelas Pei Nei, sebidang tanah seluas lapan ekar telah digazetkan oleh pihak pemaju untuk pembinaan balai polis dan kuarters anggota.

Namun sehingga sekarang tiada keutamaan yang diberikan meskipun satu surat rasmi telah diajukan pada tahun 2009 kepada Ketua Polis Selangor ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Pada waktu itu, maklum balas yang diberikan adalah meraka katakan sudah masuk dalam kajian perancangan Malaysia.

“Tetapi selepas tiga tahun, kita tidak boleh tunggu lagi sebab keselamatan penduduk disitu begitu terancam,” katanya yang turut mewakili Jawatankuasa Penduduk Bandar Country Homes.

Jumlah penduduk Bandar Country Homes kini hampir 50,000.

Menurut Pei Nei, antara kejadian jenayah yang berlaku adalah rompakan tabung Masjid Cahaya Iman meskipun memiliki kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera berkenaan dirosakkan.

Selain itu, dalam tempoh tiga hari, hampir tiga buah rumah dipecah masuk selain nasib malang yang dihadapi Sekolah Agama Rakyat berhampiran ekoran kehilangan komputer sekolah.

Tegasnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein perlu turun sendiri melihat keadaan pondok komuniti berkenaan selain meninjau keadaan anggota polis yang tidak mempunyai keharmonian suasana kerja ketika bertugas.

Beliau menambah, anggota polis dari Balai Polis Rawang terpaksa turun membantu sekiranya berlaku sebarang kes besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published.