Categories
SELANGOR

Artis Indonesia Bawa Mesej Anti-Pemerdagangan Manusia Ke Malaysia

KUALA LUMPUR 25 NOV : MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menghadiri satu majlis minum pagi bagi meraikan kehadiran kumpulan artis Indonesia yang membawa mesej anti pemerdagangan manusia melalui konsert mereka di Malaysia.

Kumpulan D’Masiv dan Adara dibawa khas oleh Tourism Selangor Sdn Bhd untuk sebuah konsert di Dataran I-City Shah Alam pada malam ini.

Selain mesej anti-pemerdagangan manusia, konsert ini bertujuan meraikan pembukaan taman tema baru di I-City.

Bercakap pada TVSelangor, Nurul Izzah berkata rakyat di negara ini masih kekurangan kesedaran dan pengetahuan umum mengenai isu pemerdagangan manusia yang merupakan jenayah yang serius.

Katanya, artis-artis tersebut banyak membawa mesej kemanusiaan bagi membantu menyedarkan masyarakat mengenai kempen yang sedang dijalankan di negara ini.

Statistik daripada Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negara menunjukkan 591 individu telah ditangkap antara tahun 2008 dan 2011 kerana terlibat di dalam jenayah itu.

Manakala seramai 924 mangsa telah diselamatkan. Malaysia masih berada di dalam senarai gelap Kementerian Luar Amerika Syarikat berkenaan negara yang mencatatkan kes pemerdagangan manusia yang tinggi.

“Sebagai contoh, kumpulan D’Masiv mempunyai banyak lagu yang membawa mesej keamanan dan kesejahteraan untuk semua masyarakat.

?(Dan) ianya boleh memberi mesej kepada semua yang hadir pada konsert itu,” katanya ketika ditemui di Restoran Anis Puteri, Pantai Dalam hari ini.

Dalam pada itu, ahli kumpulan D’Masiv, Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata mengharapkan orang ramai datang memeriahkan konsert mereka sambil menyifatkan Malaysia sebuah negara yang aman walaupun rakyatnya mempunyai perbezaan fahaman politik.

“Mesej yang ingin dibawakan melalui konsert ini adalah bagi rakyat Indonesia khususnya di negara ini tahu dan faham mengenai permasalahan serius seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan warga asing ke negara ini,” katanya yang merupakan pemain gitar bass D’Masiv.

Selain itu, antara artis tempatan yang bakal menjadi membuat persembahan pembukaan adalah Sixth Sense, Black Gamma, Ito Blues Gang, Fraudisputescapade serta penampilan istimewa oleh Kumpulan SayWho daripada Maharaja Lawak Mega.

Leave a Reply

Your email address will not be published.