Categories
SELANGOR

Bekas Pengarah JAIS Pilih PAS Kerana Islam

 

SHAH ALAM 23 NOV : Bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Nahrawi Hashim, 63, menyatakan keputusannya menyertai PAS kerana parti itu memperjuangkan agama Islam dan masih kekal dilandasannya.

Nahrawi berkata demikian ketika mengulas mengenai penyertaannya ke dalam PAS ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV minggu lalu.

Katanya, beliau dibesarkan dengan ilmu agama sejak dari kecil dan menyimpan hasrat untuk menyertai PAS sekian lama dan hanya berbuat demikian selepas menamatkan perkhidmatannya sebagai pegawai kerajaan.

“Jawapan saya mudah, saya dibesarkan dengan agama dan saya melihat PAS adalah parti yang memperjuangkan agama Islam,” katanya ketika ditemui di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sementara itu, Nahrawi berkata, beliau hanya ingin menjadi ahli biasa dan berhasrat untuk menyumbang sesuatu yang bermanfaat daripada belakang namun tidak menolak sekiranya diberikan jawatan dalam PAS.

Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Samad menyatakan PAS masih relevan dan penyertaan Nahrawi membuktikan parti itu tidak tersasar daripada matlamat asal perjuangannya.

“Di dalam PAS Selangor, saya mengalu-alukan kemasukan beliau sebagai ahli dan mengharapkan beliau dapat membantu khususnya di kawasan Shah Alam,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Sebelum ini, Nahrawi pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pernah juga berkhidmat di Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan sebelum bersara daripada jawatannya pada tahun 2009.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.