DAP Kecam Serangan Israel Ke Atas Gaza

SHAH ALAM, 17 NOV : DAP hari ini menggesa Kementerian Luar Negeri dan Wisma Putra untuk membuat bantahan diplomatik dan menyampaikan pesanan tegas kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat supaya segera membendung keganasan serangan Israel ke atas Palestin yang sedang berlaku.

Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media turut mengecam penggunaan taktik keganasan oleh Israel yang melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza hingga mengorbankan banyak nyawa.

Menurutnya, Israel mempunyai pasukan ketenteraan yang jauh lebih moden dan canggih yang lazimnya akan mengakibatkan kematian dan kerosakan yang berlebihan.

“Sekurang-kurang 30 rakyat Palestin dan 3 rakyat Israel telah terkorban sejak Israel memulakan serangan bertubi-tubi terhadap militan Palestin di Gaza pada hari Rabu.

“Ekoran serangan udara Israel ke atas Gaza yang telah membunuh ketua tentera Hamas Ahmed Al-Jabari, militan Palestin telah mengambil tindakan menyerang balas dengan melancarkan beberapa buah peluru roket ke atas Tel Aviv dan beberapa kawasan yang lain.

“Ramai lagi insan yang tidak bersalah akan terkorban jika keganasan ini berterusan. Malah ada yang mengatakan bahawa tindakan Israel untuk menyerang Gaza dengan sewenang-wenangnya melalui serangan udara akan mencetuskan perang baru antara Palestin dan Israel,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.