Categories
NASIONAL SELANGOR

Iskandar : 29 Peratus Projek Terbengkalai Siap

 

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan Negeri berjaya menyiapkan 29 peratus daripada 49,451 unit perumahan terbengkalai ditinggalkan Umno-BN sejak mula mengambilalih pentadbiran negeri hingga September lalu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengambil inisiatif itu supaya masalah dihadapi rakyat dapat di atasi dengan kadar segera.

Beliau menjelaskan ia adalah masalah warisan ditinggalkan kerajaan terdahulu dipimpin Umno-BN diambilalih PR yang prihatin akan keperluan rakyat Selangor.

“Dari 49,451 unit rumah terbengkalai seperti rumah kediaman dan bangunan komersil, kita berjaya menyelesaikan 14,245 unit sehingga September lalu melibatkan 19 kawasan di seluruh Selangor.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga merancang program baikpulih negeri berkebajikan (Ceria) dengan jumlah tabungan pusingan RM9.7 juta di mana 17 kawasan terlibat dalam program ini bagi Fasa 1 siap sepenuhnya manakala 33 daripada 52 kawasan siap untuk Fasa 2 selain Fasa 3 yang bakal bermula dengan 92 kawasan,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Annex di sini hari ini.

Turut serta Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Iskandar berkata, selepas lebih empat tahun, kira-kira 92 peratus pangsapuri menikmati pemberian air percuma ditawarkan Kerajaan Negeri.

Menurutnya, rundingan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dibuat supaya syarat dikenakan dapat dilonggarkan bagi mempercepatkan migrasi dari meter pukal ke meter individu.

“Usaha lain adalah menubuhkan Task Force Permai untuk menggalakkan migrasi seperti program turun padang selain Jawatankuasa Prihatin bagi penyelesaian masalah di perumahan bertingkat bagi proses penukaran kepada meter individu,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan  Negeri juga membina 1,682 unit Rumah Mampu Milik di kawasan seperti Bandar Baru Bangi, Bukit Botak, Kajang dan sebagainya.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,215 unit lagi akan dibina bagi Fasa 1 dari 2010 hingga 2013 manakala 9,481 unit dari 2014 hingga 2018.

“Rumah kos rendah diusaha Umno-BN sebelum ini juga banyak bermasalah dan Kerajaan Negeri memperkenalkan rumah mampu milik yang bagus serta lebih murah berbanding rumah konsep sama, PR1MA oleh Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.