Categories
NASIONAL SELANGOR

Kadar Pengangguran Belia di Selangor Rendah

SHAH ALAM 22 NOV : Kadar pengangguran di Selangor adalah rendah dan masih kekal di bawah empat peratus kesan peningkatan sektor perkhidmatan di negeri ini.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perangkaan yang diberikan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) menyatakan kadar pengangguran di Selangor adalah 3.9 peratus dan sama seperti tahun sebelumnya.

Katanya, sektor perkhidmatan di Selangor bergerak positif dengan menyumbang sebanyak 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri ini dengan menyediakan lebih 20,000 peluang pekerjaan setiap tahun.

“Kadar pengangguran yang rendah ini didorong oleh perkembangan sektor perindustrian, pembuatan dan perkhidmatan yang memberikan peluang pekerjaan meliputi kerja mahir, separa mahir dan kurang mahir serta profesional,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil) mengenai peluang pekerjaan belia di Selangor.

Dalam pada itu, sejak Januari sehingga Julai 2012, sebanyak 142 projek pelaburan baru masuk ke Selangor dan sebanyak 13197 peluang pekerjaan disediakan bagi golongan belia di negeri ini.

Mengikut jumlah keseluruhan peluang pekerjaan sejak 2008 sehingga 2011, sebanyak 102,288 peluang pekerjaan telah diwujudkan di Selangor.

Sementara itu, Kerajaan Negeri sentiasa menggiatkan program bagi meningkatkan peluang pekerjaan di Selangor dengan menyediakan program ‘Jom Kerja’ yang dianjurkan setiap tahun.

Dr Ahmad Yunus berkata, bagi menyediakan golongan belia yang proaktif, Kerajaan Negeri menwujudkan skim latihan teknikal bagi melatih belia yang diadakan di kolej teknikal di Selangor.

“Sebagai contoh, kolej INPENS di Selangor menyediakan kursus-kursus teknikal bagi membantu golongan belia daripada golongan sederhana dan rendah supaya belia di negeri mendapat pekerjaan yang sesuai,” katanya yang merupakan Adun Sijangkang.

Leave a Reply

Your email address will not be published.