Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Tubuh Jawatankuasa Pemantau Cerun

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan kumpulan pemantau cerun bagi mengkaji dan menilai beberapa kawasan yang perlu dibaiki bagi mengelakkan sebarang kejadian tanah runtuh.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sesi perbahasan bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Adun Hulu Klang, Shaari Shungib.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri akan bertanggungjawab bagi membaiki setiap cerun yang bermasalah di tanah milik kerajaan dan perkara sama perlu dilakukan kepada pihak swasta sekiranya berlaku di kawasan milik mereka.

“Mengenai cerun, saya menubuhkan satu kumpulan yang menilai cerun-cerun dan memberitahu sekiranya tanah tersebut adalah tanah kerajaan, pembaikan itu akan dibuat oleh kerajaan.

“Kalau tanah swasta, minta mereka betulkan. Kalau swasta tidak betulkan, kerajaan akan buat dan kita akan minta pihak swasta membuat bayaran,” katanya.

Sebelum ini, Shaari mencadangkan agar beberapa kawasan cerun terutama di DUN Hulu Kelang dan kawasan sekitarnya dipantau atau diwartakan sebagai kawasan tidak selamat bagi mengelakkan sebarang bentuk pembangunan.

Tegas Abdul Khalid lagi, Kerajaan Negeri tidak boleh memberikan alasan ketiadaan wang bagi proses membaik pulih cerun berkenaan kerana ini merupakan tanggungjawab negeri.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menubuhkan badan bertanggungjawab baru untuk memantau dan mengurus tanah kerajaan.

Beliau menambah, semua senarai tanah yang dijaga juga direkodkan.

“Polisi kita kalau bukan untuk kediaman jangka panjang kita akan jual tanah-tanah berkenaan mengikut harga semasa supaya tidak ada pemilihan yang tidak adil bagi mereka.

“Duit itu boleh kita gunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.