Kertas Putih Isu Air: Kerajaan Pusat Enggan Beri Kerjasama Punca Penstrukturan Air Gagal

SHAH ALAM 20 NOV : Penstrukturan semula air di Selangor sehingga kini tidak dapat direalisasikan kerana Kerajaan Pusat enggan turut serta dalam pengambilalihan syarikat konsesi yang bertanggungjawab terhadap operasi industri air di negeri ini.

Ini berlaku walaupun Kerajaan Pusat mempunyai kuasa eksekutif untuk memutuskan pengambilalihan industri air mengikut Seksyen 3 (1) Akta Industri dan Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Keengganan tersebut membantutkan usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dapat menikmati perkhidmatan air yang cekap pada kadar tarif yang munasabah.

Rumusan tersebut dinyatakan di dalam Ringkasan Laporan Status Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air.

Laporan tersebut disediakan oleh Unit Perancanga Ekonomi Selangor dan diedarkan hari ini di Dewan Negeri Selangor.

Laporan itu juga menyebut bahawa syarikat pemegang konsensi menuntut nilai pampasan yang lebih tinggi daripada pulangan keuntungan 12 peratus yang ditawarkan Kerajaan Negeri.

Pada ketika ini, rawatan industri perkhidmatan air melibatkan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Sementara agihan air pula dikendalikan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Keadaan ini menyumbang kepada pengurusan air tidak cekap dan kos operasi yang membebankan rakyat melalui kenaikan tarif air tinggi.

Oleh itu, Kerajaan Negeri mahu menstruktur semula industri dan perkhidmatan air agar rakyat bebas daripada beban tarif air yang tinggi.

Tawaran pertama kepada syarikat-syarikat tersebut dibuat Kerajaan Negeri pada 13 Februari 2009 dan berjumlah RM 5.7 bilion. Namun jumlah itu tidak dipersetujui kesemua syarikat itu.

Kerajaan Negeri kemudian membuat tawaran lagi pada 25 Jun 2009 dengan nilai RM 9.2 billion tetapi hanya dipersetujui ABASS dan SPLASH sementara Syabas dan Puncak Niaga menolak tawaran tersebut.

Pada 31 Januari 2010, nilai pampasan sekali lagi dinaikkan kepada RM 9.27 bilion namun masih ditolak kesemua pemegang konsesi.

Menurut laporan itu, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa tidak wajar untuk membayar pampasan terlampau tinggi kepada syarikat konsensi kerana mereka beroperasi sehingga mengaut pulangan modal serta mencapai jangkaan keuntungan sebagai pemegang saham utama.

“Syarikat konsesi boleh merujuk Timbang Tara Bebas Antarabangsa yang mana Kerajaan Negeri mematuhi apa jua keputusan dibuat,” kata laporan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.