Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tidak Perlu Tunggu Pilihan Raya Untuk Bantu Rakyat

KLANG, 12 NOV : Peningkatan taraf hidup rakyat perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa meminggirkan atau menidakkan hak golongan atau kaum-kaum tertentu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, hanya dengan pembangunan berimbang, keharmonian serta budaya pelbagai kaum dapat diwujudkan dan dinikmati bersama.

“Rakyat Selangor sudah merasa pembangunan ekonomi yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR). Rakyat Selangor sudah merasa pengagihan peruntukan yang diberikan secara konsisten sejak 2008 kepada setiap kaum.

“Kita tidak perlu tunggu pilihan raya untuk beri peruntukan, tetapi diberikan setiap tahun kerana ia merupakan hak rakyat,” katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, di sini petang semalam.

Majlis itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama syarikat Telekomunikasi Digi.

Hadir sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen dan Adun Selangor serta Yang Dipertua Majlis Perbadaran Klang (MPK), Ikhsan Mukri dan Ahli Majlis MPK.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyumbang sejumlah RM1.2 juta kepada beberapa buah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Klang.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah merangka strategi tertentu untuk melaksanakan program bagi kemajuan sekolah-sekolah Tamil di Selangor.

“Diharapkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola sekolah-sekolah Tamil menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk membantu inisiatif kerajaan ini bagi faedah anak-anak yang yang belajar di sekolah Tamil,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.