Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Ubah Tradisi Pengurusan PKNS

SHAH ALAM 22 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Kerajaan Negeri kini cuba mengubah tradisi pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) suapa lebih berdaya saing berbanding era Umno-BN.

Sebelum ini katanya, budaya mengeluar aset PKNS kepada pihak ketiga berlaku di bawah pentadbiran Umno-BN.

“Sebagai contoh, sebelum ini, PKNS mendapat beratus ekar tanah di Kota Damansara tetapi hanya melakukan 10 peratus pembangunan sahaja manakala selebihnya dibuat oleh pihak lain,”katanya.

Jelasnya, sebelum ini, PKNS lebih banyak aset berbanding Sunway dan SP Setia tetapi kini PKNS ketinggalan jauh daripada kedua-dua pemaju terbabit.

Masalah ini timbul apabila akaun PKNS dulu tidak diurus dengan baik.

“Dapat duit baru tulis, ada kalanya PKNS tidak membayar pada Kerajaan Negeri, bila dapat duit baru tulis, baru ada rekod.

“Oleh sebab itu, saya mahu ubah cara dahulu, saya mahu ubah cara Umno-BN. Saya pernah bangunkan Permodalan Nasional Berhad dahulu, lebih awal dari PKNS, tetapi lihat sekarang, pelaburannya berpuluh ganda dari PKNS sebab ia ada rekod yang betul.

“Jadi jangan cakap saya tidak meneliti pembangunan bumiputera,” katanya ketika menjawab soalan dari Sulaiman Razak (BN-Permatang) yang mempersoalkan jumlah aset PKNS yang kononnya ‘terlepas’ dari PKNS semasa pentadbiran Umno-BN dahulu.

Menjawab lanjut soalan tambahan mengenai penjualan aset PKNS oleh Umno-BN, Abdul Khalid menegaskan bahawa PKNS tidak akan menjual lima aset komersialnya pada harga RM321 juta seperti yang didakwa.

Sebaliknya, kesemua aset itu dikumpul untuk dipindah milik kepada anak syarikat baru milik penuh perbadanan itu iaitu Private Real Estate Company (PREC).

“Itu bentuk susunan semula, aset itu akan dimasukkan ke dalam syarikat itu. Kalau melibatkan perbadanan, itu bukan namanya jual, sebab ia berkaitan syarikat yang sama, akaun yang disatukan tiada istilah jual.

“Kita satukan aset untuk kembangkan aset itu. Itu memang biasa dilakukan dalam pengurusan aset.

“Kalau tradisi dulu, bila sudah masuk dalam syarikat, ada hantu mahu kongsi saham. Sekarang ia sudah tiada sebab kita telus. Saya sengaja biarkan semua orang tengok, biar semua pandai.

“Jadi, jika Kuang dan Permatang berminat saya boleh minta Pengurus Besar dan Timbalan Pengurus PKNS boleh jelaskan kepada sesiapa pun,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.