Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ Diminta Ambil Tindakan Tegas Tempat Buang Sampah Haram

PETALING JAYA, 6 NOV : Kira-kira 500 penduduk Taman Desaria, Kelana Jaya di sini terpaksa mengharungi bau busuk setiap hari daripada satu tapak pembuangan sampah haram yang terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.

Tapak tersebut yang terletak di tebing Sungai Penchala dipercayai sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan dikunjungi kira-kira 30 buah lori sampah.

Menurut Ahli Majlis Zon 24 Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Azman Yusof, pihak yang membuka tapak itu turut melakukan pembakaran sampah pada waktu petang yang menghasilakan asap berbau busuk.

Lori-lori sampah juga dipercayai mengunjungi tapak itu pada waktu malam bagi mengelakkan operasi itu dikesan pihak berkuasa.

“Penduduk sekitar yang berusia emas terganggu dengan keadaan busuk itu yang juga boleh memudaratkan kesihatan.

“Saya mahu tindakan penyelesaian disegerakan dalam tempoh terdekat agar tapak pembuangan sampah haram itu ditutup,” katanya, apabila ditemui.

MP Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh, mendakwa tanah tersebut kepunyaan Tenaga Nasional Berhad dan beliau berharap syarikat itu dapat mengambil tindakan terhadap tapak itu.

Gwo-Burne berkata demikian semasa turun meninjau keadaan tapak itu selepas menerima aduan daripada penduduk Taman Desaria PJS 5.

“Kita berharap pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat bekerjasama menyelesaikan masalah ini kerana tanah itu adalah milik mereka,” kata Gwo-Burne.

Gwo-Burne juga mendesak agar MBPJ mengambil tindakan segera menutup tapak pembuangan tersebut.

Turut sama hadir di lawatan itu, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan sepasukan penguatkuasa MBPJ.

Menurut Nik Nazmi, penduduk disaran bekerjasama dengan pihak penguatkuasa MBPJ bagi menyalurkan maklumat berkenaan lori-lori yang keluar masuk membuang sampah di kawasan itu.

Ianya agar tindakan dapat dilakukan bagi mengenakan tindakan terhadap dalang disebalik pihak yang membuang sampah sarap itu.

“Kita harap dengan adanya maklumat nombor pendaftaran lori itu untuk dibuat semakan kepada sistem pangkalan data dalam MBPJ.

“Jika mereka berdaftar di bawah MBPJ maka mereka akan dikenakan tindakan tegas segera,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.