Categories
SELANGOR

PBT Perlu Pantau Akaun Kutipan Tapak Pasar

PANDAN INDAH, 7 NOV : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor disaran membuat pemantauan secara berkala terhadap akaun kutipan tapak pasar pagi dan pasar malam di kawasan masing-masing bagi memastikan pengurusannya berjalan lancar.

Demikian tegas Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai PBT (JPK-PBT), Haniza Talha semasa mengadakan pendengaran tertutup bersama Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) di Menara MPAJ, semalam.

Menurut Haniza, PBT bertanggungjawab memaklumkan kepada JPK-PBT berkaitan pengurusan kedua-dua pasar serta menerangkan bagaimana pengagihan kutipan bagi setiap tapak pasar dibelanjakan.

Seperti MPAJ, katanya, peniaga dikenakan bayaran RM4 untuk setiap petak di mana RM1 diberikan kepada Majlis manakala selebihnya kepada JKP untuk kerja-kerja pembersihan, keselamatan serta program kemasyarakatan.

“Tujuan kami membuat pendengaran tertutup ini adalah untuk memastikan sama ada pengambil alihan pengurusan pasar malam dan pasar pagi dijalankan atau tidak. Kedua untuk melihat bagaimana akaun kutipan itu dibuat.

“Berdasarkan laporan yang diterima, hanya sembilan daripada 18 JKP menghantar laporan akaun kepada pihak Majlis untuk disemak. Oleh itu, kita tegaskan dalam minggu ini mereka perlu serahkan kesemua laporan atau kebenaran menguruskan pasar akan ditarik semula,” katanya.

Hadir sama, Adun Teratai, Jenice Lee, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari dan Adun Teluk Datuk, Philip Tan.

Difahamkan, MPAJ di bawah pengurusan JKP mengendalikan 30 lokasi pasar malam di sekitar kawasan itu, manakala 10 petak pasar pagi diuruskan oleh persatuan peniaga.

Dalam sidang media sama, Haniza turut mengingatkan MPAJ supaya mengambil alih sepenuhnya pengurusan pasar pagi di kawasan itu selewat-lewatnya awal tahun depan.

Katanya, ia bagi memastikan supaya peniaga tidak dikenakan caj melampau ke atas sewaan petak.

“Tanggungjawab mengurus pasar pagi perlu diuruskan oleh PBT. Setakat ini, pihak persatuan agak keberatan untuk menyerahkannya semula kepada PBT kerana mereka menerima pendapatan lumayan.

“Persatuan tidak berhak untuk kutip sewa tapak. PBT perlu ambil alih semua tapak itu selewat-lewatnya tahun depan. Arahan ini dikeluarkan Exco dalam Mesyuarat Tertinggi Exco Selangor (MTES) pada Mei lalu,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.