Categories
SELANGOR

Penduduk Dinasihat Jangan Jadikan Ban Tapak Pertanian

SHAH ALAM 15 NOV : Penduduk disekitar Dengkil dinasihatkan tidak menjadikan kawasan ban dan sekitarnya sebagai tapak pertanian kerana ia boleh mengakibatkan ban yang dibina pecah dan menyebabkan banjir.

Penyelaras DUN Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, pihaknya mendapati perkara itu ketika diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Katanya, penduduk bertindak menanam pelbagai jenis tanaman seperti pokok pisang yang akhirnya menyebabkan struktur tanah berongga seterusnya berisiko pecah jika arus sungai deras.

Beberapa ban atau terusan yang pecah itu melibatkan kawasan Bukit Changgang, Labuan Dagang, Kuala Langat dan Sepang.

Sebelum ini, akhbar arus perdana melaporkan Umno-BN Selangor mendakwa punca banjir di kawasan Dengkil disebabkan ban pecah selain daripada aktiviti perlombongan pasir dan ban yang tidak diselenggara dengan baik.

Mengulas lanjut, Borhan menafikan banjir berlaku makin buruk adalah disebabkan perkara terbabit.

Katanya, JPS memaklumkan ketika ini air pasang besar dan ketinggian air melebihi daripada ketinggian biasa bagi dan taburan hujan yang luar biasa.

Beliau menjelaskan pihaknya sudah mengenal pasti beberapa ban yang pecah itu dan pihak JPS sudah menghantar laporan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

“Sudah tentu ia akan dibaik pulih dalam masa terdekat, kita tidak menafikan ada ban yang pecah bagaimanapun kita sudah mengenalpasti perkara yang sebenarnya dan laporan juga sudah dihantar semalam.

“Mangsa di pusat pemindahan juga kita tidak beri kebenaran pulang sehingga Ahad ini kerana dijangka hujan dan banjir akan berterusan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, menurut portal JPS, setakat ini, di Selangor, paras air di Sungai Langat, Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Selangor sudah melebihi paras amaran iaitu masing-masing 6.02 meter, 4.08 meter dan 3.97 meter.

Jumlah mangsa banjir setakat ini sebanyak 1,309 orang yang melibatkan tujuh pusat pemindahan di sekitar Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.