Categories
NASIONAL SELANGOR

Peruntukan RM81.8 Juta Untuk Laksana MARRIS

SHAH ALAM 20 NOV : Sehingga Oktober lalu, sejumlah RM81.8 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Program Geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Jumlah ini, menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meliputi 1, 141 projek yang disenaraikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah Tanah sepanjang tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Balakong, Yap Lum Chin berkenaan Program MARRIS dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi.

Mengulas lanjut, Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan Program MARRIS dapat dijalankan dengan efektif dan bermutu.

“Kerajaan Negeri menetapkan penglibatan Adun untuk mengenalpasti dan mengemukakan projek-projek penyelenggaraan jalan, dengan perbincangan diadakan bersama PBT untuk dilaksanakan.

“Kaedah ini membolehkan Adun mengawal selia peruntukan di samping mengelakkan penyelewengan,” jelas beliau yang juga Adun Ijok.

Tambah beliau, perlantikan kontraktor juga dibuat secara sebutharga bagi mendapatkan nilai terbaikbagi setiap wang yang dibelanjakan.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menubuhkan pasukan Audit di setiap PBT untuk menjalankan pengauditan kerja secara berterusan.

“Dengan perlaksanaan secara perolehan terbuka ini, kita boleh menyatakan kepada rakyat bahawa nilai setiap projek setimpal dengan kerja dilakukan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.