SAMM: Calon PRU Perlu Isytihar Harta

SHAH ALAM,17 NOV : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyeru pemimpin, rakyat atau pengundi menyokong usaha pengistiharan harta sebagai sebahagian syarat wajib untuk menjadi calon dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang.

Penyelaras SAMM Kebangsaan, Badrul Hisham Shaharin berkata, rakyat seharusnya bangkit menolak pemimpin calon yang tidak mengisytiharkan hartanya.

“Tahniah di atas komitmen Timbalan Presiden PAS,Mohamad Sabu untuk mengisytiharkan harta sebelum menyertai PRU 13 jika dinamakan oleh parti sebagai calon.

“Komitmen beliau telah ditegaskan melalui ucapan dalam Perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-53 di Kelantan beberapa hari lalu,” kata Badrul Hisham dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau, tindakan berani ini perlu kerana pilihanraya umum dan pentadbiran negara masa mendatang memerlukan komitmen tinggi pemimpin dan ahli politik yang telus dan berintegriti.

Ujarnya, pengistiharan harta juga perlu dibuat secara serius dengan turut mengumumkan harta calon, isteri, anak dan saudara terdekat bagi mengelakkan salah guna kuasa dan rasuah.

“Ramai ahli politik yang menjadi kaya mendadak walaupun baru sahaja memegang jawatan tertentu dalam pentadbiran negara.

“Baik BN atau PR semua pemimpin perlu istihar hatra sebelum dipilih menjadi calon PRU 13 nanti.
“Maka rakyat boleh menilai berapa banyak laba yang diperolehi apabila duduk sesuatu jawatan atau mandat yang diberikan rakyat,” tegas beliau.

Beliau berkata, rakyat juga perlu menilai kejujuran dan sumber harta yang diisytiharkan oleh bakal calon.
“Mekanisme isytihar harta mungkin ada kelemahan tetapi yang penting wajib isytihar.

“Dan rakyat akan melihat betapa serius kita melakukannya demi menjamin pentadbiran yang berintegriti dimasa depan,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.