Categories
NASIONAL

Skandal RM40 Juta : Bukti Baru Diserah Kepada ICAC Hong Kong

KUALA LUMPUR 22 NOV : Delegasi PKR ke Hong Kong bagi mendedahkan kes dakwaan rasuah RM40 juta yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menemui bukti baru berhubung kes terbabit.

Di ketuai Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataan medianya berkata, beliau mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan James To, pemimpin Parti Demokrat yang juga Naib Pengerusi, Penal Keselamatan Majlis Perundangan Hong Kong.

Majlis perundangan tersebut bertanggungjawab memantau kebebasan dan keberkesanan badan penguatkuasa undang-undang di Hong Kong, termasuklah Suruhanjaya Bebas Mencegah Rasuah (ICAC).

Dalam pertemuan itu, James mengaturkan supaya satu perjumpaan segera diadakan dengan pegawai-pegawai ICAC menerima bukti baru dari Malaysia berhubung kes dakwaan rasuah RM40 juta yang dikaitkan dengan Musa Aman.

James juga menyatakan sokongan beliau membawa kes ini dan hadir bersama-sama dengan delegasi PKR untuk menyerahkan bukti baru kepada ICAC.

Mengambil kira kenyataan terbuka Kevin Zevros, Ketua Pendakwa Hong Kong bahawa beliau bersedia untuk membuka semula siasatan sekiranya mendapat bukti baru.
Delegasi PKR telah menyerahkan satu laporan (dan dokumen sokongan) mengenai 3 perkembangan baru yang boleh membantu siasatan ini:

1. Kenyataan Datuk Seri Lajim Ukin bahawa beliau tidak pernah tahu menahu bagaimana Umno telah mendapat sumbangan derma RM40 juta, seperti alasan yang digunakan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan siasatan ICAC

2. Kenyataan Datuk Seri Wilfred Bumburing bahawa beliau tahu wang RM40 juta itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi seseorang (bukannya akaun Umno) yang menguatkan lagi pandangan ramai bahawa wang itu bukanlah derma kepada Umno

3. Pendedahan bahawa anak Datuk Seri Nazri Aziz mendapat habuan dalam bentuk sebuah kereta mewah menimbulkan keraguan bahawa Datuk Seri Nazri Aziz mempunyai kepentingan di dalam kes ini yang boleh mempengaruhi kesahihan maklumat yang diberikan oleh pihak berkuasa Malaysia kepada ICAC

Delegasi PKR percaya bahawa ketiga-tiga bukti baru ini mengesahkan bahawa dakwaan pihak berkuasa Malaysia bahawa wang RM40 juta itu merupakan derma kepada Umno adalah tidak benar.

Oleh kerana ICAC terpaksa menutup penyiasatan sebelum ini kerana pihak berkuasa Malaysia memberikan gambaran yang tidak tepat, bukti-bukti baru ini diharapkan dapat membuka semula kes RM40 juta membabitkan Dato? Seri Musa Aman.

Selain dari perbincangan mengenai ketiga-tiga perkembangan tersebut, delegasi PKR bersetuju untuk menyerahkan lebih banyak bukti termasuklah bukti transaksi di Hong Kong kepada ICAC dalam tempoh tiga minggu akan datang untuk membantu siasatan ICAC.

“Saya percaya isu ini tidak akan mati seperti sebelum ini dengan sokongan dan minat yang ditunjukkan oleh pimpinan Hong Kong dan media di sini. Misi delegasi ini telah pun mendapat liputan di dalam media tempatan dan satu sesi penerangan khas kepada pihak media akan diadakan pada jam 3 petang ini,” jelas Rafizi.

Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Adun Teja, Chan Lih Kang

Leave a Reply

Your email address will not be published.