Categories
NASIONAL SELANGOR

Skim Mikrokredit Juga Beri Peluang Kepada Belia

SHAH ALAM, 26 NOV : Kerajaan Negeri Selangor memberi peluang kepada semua pihak termasuk golongan belia untuk memulakan perniagaan di bawah Program Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) Niaga.

Exco Wanita, Kebajikan, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, selain memberikan perkhidmatan kepada mereka yang sudah memulakan perniagaan, Mimbar Niaga turut membuka ruang kepada individu yang ingin menjana pendapatan bagi meningkatkan taraf hidup.

Beliau berkata, golongan belia yang ingin memulakan perniagaan akan diberikan modal, peralatan asas serta bimbingan secara konsisten.

“Di bawah program Mimbar Niaga, Kerajaan Negeri menyediakan modal asas dan bimbingan kepada para peserta. Program ini juga bertujuan membantu individu yang tiada perniagaan tetapi ingin mencuba dengan tempoh percubaan selama enam bulan. Sekiranya berjaya, perniagaan mereka boleh dikembangkan di peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

Rodziah berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Amirudin Shari (PKR-Batu Caves) berhubung Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) dan Mimbar.

Tambah Rodziah, sehingga Oktober tahun ini, seramai 12,175 peserta layak menerima bantuan kedua-dua skim tersebut, di mana 6758 sadiq bagi Skimsel, manakala 5417 peserta bagi Mimbar.

Daripada jumlah itu, seramai 2,962 peserta terdiri daripada golongan muda (Skimsel), sementara bagi Mimbar ialah seramai 2,331.

“Skimsel berjaya mencapai bayaran balik sebanyak 97.02 peratus, manakala Mimbar ialah 83.03 peratus. Kebanyakan pinjaman ini dibayar secara konsisten oleh peserta menggunakan perkhidmatan bank yang disediakan,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.