Categories
SELANGOR

Skim Seroja Bukan Bersaing Dengan Rukun Tetangga

SHAH ALAM,15 NOV : Skim Rondaan Kejiranan (Seroja) yang ditubuhkan Kerajaan Negeri bukan bertujuan menyaingi Rukun Tetangga tetapi ia bermatlamat mewujudkan rasa tanggungjawab penduduk serta semangat gotong-royong dan membanteras kegiatan vandalisme.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, skim yang dimulakan di Pangsapuri Taman Puchong Permai pada 10 November lepas adalah sebahagian dari Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria Dan Harmoni yang dilancarkan pada tahun 2009.

“Tiga kawasan perintis dikenalpasti untuk dilaksanakan pada tahun ini.

“Skim ini adalah khusus untuk penduduk pangsapuri-pangsapuri di Selangor yang mahu membuat rondaan keselamatan di dalam kawasan pangsapuri mereka,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata, rondaan adalah terhad kepada kawasan-kawasan di bawah bidangkuasa Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) dan Perbadanan Pengurusan (MC).

“Kerajaan Negeri akan mencarumkan perlindungan takaful untuk setiap sukarelawan Seroja.

“Setiap kawasan pangsapuri yang menyertai skim ini juga akan diberikan vest dan lampu suluh untuk digunakan ketika meronda,” kata Iskandar.

Jelas beliau, sekiranya skim ini berjaya di kawasan-kawasan perintis itu maka skim itu akan dilaksanakan di sepuluh lagi kawasan pada tahun hadapan.

“Walau bagaimanapun, bilangan kawasan ini akan ditambah jika terdapat permintaan yang menggalakkan,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.