Categories
SELANGOR

Sultan Selangor : Pelihara Kesucian Islam Dengan Kebijaksanaan

 

SHAH ALAM 15 NOV : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan orang Melayu agar memelihara kesucian Islam dengan kekuatan dan kebijaksanaan seperti yang tdi lakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, para mujahid dan pemimpin-pemimpin Islam yang terdahulu.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1434 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Antara lain baginda bertitah agar rakyat tidak mencampur adukkan agama dan politik kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat.

“Sebaliknya Beta menyeru supaya orang-orang Melayu bersatu padu, membantu antara satu sama lain dan mengeratkan silaturahim sesama Islam serta mempertahankan agama Islam yang suci ini.

“Sebagai ketua agama Islam dan pelindung kepentingan serta hak-hak orang Melayu di Negeri Selangor, Beta bertanggungjawab sepenuhnya pada setiap masa menentukan bahawa agama Islam yang suci dan kepentingan orang Melayu terpelihara dan dijaga dengan sempurna,” titah baginda.

Disamping itu, baginda menyeru agar orang Melayu khususnya di Selangor tidak terpengaruh dengan pelbagai hasuatan dan dakyah sehingga merosakkan akidah serta syirik kepada Allah.

Tambahnya, perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa agama Islam adalah agama Persekutuan. Ini menjelaskan bahawa agama Islam lebih tinggi kedudukannya berbanding agama-agama lain. Perlembagaan juga menetapkan kedudukan dan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang perlu dilindungi.

Terdahulu dalam titahnya, baginda berharap seluruh umat Islam khususnya orang Melayu di Negeri Selangor dapat menyambut tahun baru Islam ini dengan penuh azam dan pemikiran yang bernas untuk membangunkan orang Melayu serta mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah kerana mengurniakan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Akhirnya baginda mengajak rakyat negeri ini bersama-sama berdoa semoga Negeri Selangor yang dikasihi ini sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah Subhanahu Wata?ala serta dijauhkan dari malapetaka.

“Beta juga berdoa semoga rakyat yang berbilang kaum di Negeri Selangor ini dapat hidup dengan bersatu padu, aman damai, dan Negeri Selangor akan terus maju, makmur dan sejahtera,” titahnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.