Yayasan Selangor Anjur Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara

SHAH ALAM, 1 NOV : Yayasan Selangor akan menganjurkan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara pada 18 November (Ahad) ini di Dewan Syarahan Universiti Selangor (UNISEL), Seksyen 7 Shah Alam.

Komunikasi Korporat Yayasan Selangor, Saifullah Zulkifli berkata, Yayasan Selangor menganjurkan Konvensyen Halatuju Pendidikan Negara sebagai langkah penambahbaikan terhadap dasar dan sistem pendidikan negara perlu diberikan perhatian.

Ia supaya Dasar Pendidikan Negara tidak tergelincir daripada landasan pembinaan negara-bangsa yang bertamadun.

“Pakar-pakar pendidikan dikumpulkan bagi mengkaji dan membahaskan isu-isu dasar pendidikan di Malaysia dengan perjalanan konvensyen dibahagikan kepada beberapa sesi.

“Sesi pertama adalah merupakan ucaptama oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku mantan Menteri Pendidikan Malaysia dan Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia,” kata Saifullah dalam kenyataan medianya.

Saifullah berkata, sidang kedua adalah bengkel selari dengan pembentangan 15 kertas kerja serentak dengan pengulas berkenaan pelbagai topik yang berlegar di sekitar pendidikan.

Sidang terakhir adalah resolusi serta penutup oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Konvensyen ini adalah hasil daripada Perbincangan Meja Bulat Pendidikan Malaysia yang diadakan pada 8 September 2012 di Hotel Quality, Shah Alam anjuran Pejabat Exco Pendidikan Negeri Selangor.

“Konvensyen ini menarik untuk diberi perhatian kerana selain daripada membahaskan aspak halatuju pendidikan dan falsafah pendidikan, program ini turut membahaskan isu pendidikan vokasional, pengajian tinggi, sekolah rendah dan menengah.

“Turut dibincangkan adalah isu pendidikan kaum Cina, India, Sabah dan Sarawak yang kini hangat dibahaskan,” kata Saifullah.

Kata beliau, penyertaan adalah percuma.

Kepada yang berminat untuk hadir sebagai peserta boleh menghubungi pihak Yayasan Selangor di talian 03-79551212 atau hubungi Sdr Saifullah Zulkifli 013-3005461, [email protected].

Leave a Reply

Your email address will not be published.