Categories
NASIONAL SELANGOR

Bapa Pelajar Koma Rayu Bantuan Kementerian Pelajaran

William Leong 02

SELAYANG 20 DIS : Kementerian Pelajaran diminta prihatin dan bertindak segera bagi mengatasi masalah dihadapi Poh Jia Cheng, 10, yang cedera dan koma sejak lebih setahun lalu.

Insiden berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Desa Jaya kira-kira jam 12 tenghari 6 September tahun lalu ketika Jia Cheng dan murid lain mahu memulakan sesi persekolahan pada sebelah petang apabila dia dilanggar murid yang sedang berlari hingga menyebabkan kepalanya terantuk ke dinding dan cedera.

Bapanya, Poh Beng Joo, 49, berkata, kejadian itu menyebabkan anak keempatnya kini mengalami cedera dan koma serta tidak lagi ke sekolah seperti kanak-kanak lain yang normal.

Menurutnya, keadaan dialami Jia Cheng sangat membimbangkan kerana ia sudah berlarutan lama dan kini dia serta keluarga menghadapi masalah kewangan bagi menanggung kos rawatannya.

Sebagai buruh kasar, katanya, pendapatan bulanannya terhad selain isterinya, Kow Yen Mooi, 40, terpaksa berhenti dari mengambil upah menjahit kerana menjaga Jia Cheng sepenuh masa.

“Saya terpaksa membuat pinjaman semula rumah saya untuk tujuan itu namun keadaan ini hanya sementara kerana dia perlu mendapatkan rawatan secara berterusan.

“Dengan kos rawatan tinggi tentunya ia membebankan saya dan keluarga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selepas insiden tersebut, Jia Cheng menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) kira-kira empat bulan termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Menteri, Datuk Wee Ka Siong pada 10 Oktober lalu supaya mengambil tindakan segera dalam perkara itu.

Namun, jelasnya sehingga ke saat ini tiada sebarang jawapan atau tindakan dibuat bagi mengatasinya atau membantu keluarga malang tersebut.

“Saya minta tindakan segera diambil dalam perkara ini bagi membantu Jia Cheng dan keluarganya yang kurang mampu tetapi setakat ini tiada jawapan dari kementerian.

“Kes ini sepatutnya diberi perhatian kerana sudah dibawa ke Pejabat Pelajaran Daerah Gombak dan Negeri Selangor. Tanggungan keluarga ini menjadi semakin berat kerana kos perubatannya yang tinggi,” katanya.

Jia Cheng dikatakan mendapat perlindungan insuran Takaful tetapi bantuan masih belum diperolehi disebabkan borang tuntutan diisi bapanya masih dalam simpanan doktor untuk tujuan ulasan.

William Leong 01

Leave a Reply

Your email address will not be published.