Categories
SELANGOR

Caj Elektrik Penghuni Subang Jaya Naik Sampai Lima Kali Ganda

hannah yeoh bil elektrik 01
SUBANG JAYA, 22 DIS : Penghuni dan pemilik premis perniagaan di sekitar Subang Jaya mendakwa kadar tarif elektrik mereka naik sehingga lima kali ganda setelah menukar meter analog ke digital awal September lalu.

Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Mohamad Noor Ahmad berkata, beliau merasa teraniaya terhadap tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengenakan caj terlalu tinggi berbanding sebelum ini.

Lebih buruk katanya, TNB hanya menukar meter tersebut di kediaman tertentu sahaja dan tidak mengeluarkan sebarang surat rasmi bagi menjelaskan perkara tersebut.

“Sekiranya meter itu sememangnya perlu ditukar, maka semua penduduk perlu menukar meter mereka kepada digital.

?Penduduk yang tidak menukar meter masih dikenakan caj sama (rendah), tetapi yang telah tukar, cajnya naik dua kali ganda.

“Saya hanya seorang pesara dan tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil yang terlalu tinggi ini.

?Saya rasa tertipu dengan tindakan TNB ini. Mereka perlu beri penjelasan,” katanya kepada TV Selangor.

Hal sama turut diluahkan Ari Krishna yang merupakan seorang pengusaha restoran di Bandar Sunway di sini yang berpendapat kenaikan tarif elektrik begitu tinggi berbanding sebelumnya.

Beliau berkata, caj elektrik yang dikenakan meningkat lebih dua kali ganda daripada RM 648 pada Jun lalu kepada RM 3,246 pada September setelah menukar meter digital.

Katanya, beliau telah membuat aduan kepada pihak TNB, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

“Apabila aduan dibuat, TNB terus memotong elektrik di premis perniagaan pada pukul 5 petang iaitu waktu yang sama restoran saya mula beroperasi.

?Saya tidak mempunyai pilihan selain menjelaskan bil tersebut kerana bimbang perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Saya juga mendapati meter tersebut ditukar sesuka hati oleh TNB tanpa meminta izin atau mengeluarkan sebarang notis kepada pemilik premis perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menggesa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memaksa TNB mendedahkan peratusan peningkatan keuntungan yang diperolehi daripada penukaran meter baru ini.

Selain itu katanya, TNB juga perlu menubuhkan jawatankuasa bebas supaya penduduk boleh membuat aduan atau pertanyaan mengenai kesesuaian penukaran meter tersebut.

“Kita terima aduan bil tidak datang setiap bulan tetapi bil yang dikeluarkan hanyalah satu anggaran.

?Peningkatan caj elektrik itu antara 50 hingga 100 peratus. Penduduk perlu mendapat keadilan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.