Categories
NASIONAL SELANGOR

Hampir 20,000 Ibu Tunggal Sudah Terima Bantuan Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 14 DIS : Seramai 19,454 ibu tunggal di Selangor telah mendapat manfaat dan kemudahan daripada berbagai skim yang dimulakan Kerajaan Selangor antaranya bantuan kewangan dan program keusahawanan.

Mereka adala daripada 24,009 ibu tunggal yang disahkan layak menerima skim-skim tersebut, berdasarkan statistik yang dikeluarkan portal rasmi ibu tunggal, e-bu.selangor.gov.my sehingga November.

Daripada 24,009, sebanyak 75.01 peratus didominasi kaum Melayu, diikuti India seramai 6.5 peratus, Cina 3.3 peratus, Orang Asal 0.01 peratus, dan kaum lain 15.12 peratus.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknnologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri komited dalam mengendalikan serta menawarkan pelbagai skim serta kemudahan kepada ibu tunggal yang tidak pernah diberikan Kerajaan Umno-BN sebelum ini.

Beliau berkata, skim itu antaranya ialah Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (MiMBAR), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar) dan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas).

“Selain itu, ia turut merangkumi program Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB), program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim wanita kerja dari rumah, Bantuan Am sebanyak RM250, Laman Dapur, Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor dan Lembaga Zakat Selangor.

“Skim-skim yang ditawarkan adalah berkonsepkan mentor-mentee di mana seramai 19,454 ibu tunggal telah mendapat skim dan kemudahan yang ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, kesemua skim yang ditawarkan memberi peluang kepada ibu tunggal berpendapatan kurang RM1,500 mendapat kemudahan dengan hanya mendaftar.

Dalam pada itu, Rodzuah turut menyarankan mana-mana ibu tunggal yang layak tetapi belum menerima bantuan untuk merujuk kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersifat terbuka terhadap kritikan dan bersedia mendengar idea yang bernas dan konstruktif kerana Kerajaan Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab.

“Berkaitan saman terhadap Kerajaan Selangor oleh pihak yang berkenaan, segalanya akan dijawab di dalam mahkamah. Penegasan lengkap dan menyeluruh akan dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebaik ketetapan mahkamah diperolehi,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.