Categories
NASIONAL

Isu Tragedi 13 Mei: Muslimat PAS Cabar Shahrizat Debat

KUALA LUMPUR, 5 DIS : Dewan Muslimat PAS Pusat mencabar Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil berdebat berhubung isu 13 Mei dan perpaduan nasional.

Timbalan Ketua Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, cadangan debat ini menunjukkan kesediaan Dewan Muslimat menjawab segala tuduhan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Shahrizat ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

“Kenyataan tersebut boleh mendatangkan rasa takut, cemas, rasa tidak selamat, tidak tenteram, berunsur ugutan, menghasut dan seterusnya upaya dan cenderung mendatangkan khianat awam kepada ketenteraman masyarakat awam pelbagai kaum di negara Malaysia ini,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini.

Dalam ucapan tersebut Shahrizat menyebut :-

“..Saya bimbang dan khuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi di negara kita…”

Jelasnya, Dewan Muslimat sengaja tidak membuat laporan polis berhubung perkara itu agar ruang debat berlangsung bagi merealisasikan satu politik baru yang lebih matang bertanggungjawab serta berakhlak selari dengan tuntutan Islam.

Tambahnya, kekecohan yang berlaku pada siri ceramah umum Pakatan Rakyat di Gombak semalam seolah-olah ‘menggambarkan’ apa yang bakal berlaku sekiranya rakyat mahu kerajaan baru dibentuk di Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al Jundi memaklumkan hasrat debat ini sudah berada di dalam pengetahuan Ketua Wanita Umno setelah dihubungi semalam.

Katanya, surat jemputan akan dihantar secepat mungkin dan buat masa ini petugas pejabat Ketua Wanita Umno masih bercuti.

Leave a Reply

Your email address will not be published.