Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Angkat Martabat Seni Budaya Bangsa

KUALA LANGAT 8 DIS : Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat (PR) sentiasa terus berusaha mengangkat kedudukan seni dan warisan budaya selain memperkasa ekonomi negeri.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata walaupun Selangor sebuah negeri yang maju dan terbaik di Malaysia tetapi Kerajaan Negeri tidak sesekali akan melupakan elemen kebudayaan.

Katanya, kebudayaan berperanan penting dalam proses pembangunan negara di mana keperibadian rakyat harus dipupuk ke arah meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan politik.

Sehubungan itu, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri itu, pelbagai program kebudayaan dirangka dan dijalankan di seluruh negeri itu.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena dengan penutupan Festival Jalanan Daerah Kuala Langat 2012 yang diadakan di Kanchong Darat, di sini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohd Azhar Mohamed Ali dan Adun Teluk Datok, Philip Tan.

“Kita tidak mahu budaya kita ‘dimuziumkan’, apa yang kita mahu ia ‘dihidupkan’ oleh masyarat setempat. Masyarakat seharusnya melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini tanpa mengira bangsa, kerana ia memperlihatkan identiti negara.

“Banyak program yang dijalankan sudah pasti ia perlu dilaksanakan berterusan bagi menimbulkan kesedaran memelihara seni dan budaya dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Rodziah menambah tiga elemen yang terdiri daripada agama, budaya dan teknologi perlu diterapkan kepada generasi muda masa kini.

“Ketiga-tiga elemen itu perlu diamik perhatian oleh anak muda sekiranya mahu memajukan sesuatu masyarakat. Walaubagaimana maju sekalipun, ketiga-tiga elemen itu perlu kita gabungkan.

“Saya percaya, Festival Jalanan yang kita anjurkan ini bukanlah semata-mata untuk mendapatkan nama daripada mana-mana pihak, tetapi adalah bertujuan untuk tatapan dan wadah kepada generasi akan datang mengenai peninggalan budaya dan warisan negara yang tidak ternilai,” katanya.

Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama MDKL itu mula diadakan pada pukul 8.30 pagi.

Pelbagai program yang disusun seperti Pameran Seni Budaya Selangor, Demonstrasi membuat gasing, Pertandingan Congkak, Galah Panjang, Batu Seremban, Dam Harimau, Baling Buah Kelapa, Sepak Raga Pelikat dan Gasing.

Program itu merupakan pusingan ketiga selepas Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.