Categories
SELANGOR

MBSA Gondol Anugerah Utama Zon Bersih

SHAH ALAM, 1 DIS: Di samping memenangi anugerah utama Zon Bersih, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga membolot majoriti anugerah lain dalam malam penghargaan Zon Bersih di sini hari ini.

MBSA dipilih daripada 12 Pihak Berkuasa Tempatan untuk menerima anugerah utama Penghargaan dan Penganugerahan Zon Bersih Selangor 2012.

MBSA turut memenangi anugerah dalam lima daripada lapan kategori iaitu Johan Anugerah Zon Bersih bagi Kumpulan Majlis Bandaraya dan Amalan Terbaik Model Pengurusan.

Ia juga menang di dalam kategori Kriteria Pemantauan Kebersihan Pihak Berkuasa Tempatan Selangor, Kriteria Penyelenggaraan Lanskap PBT Selangor dan Kriteria Penyelenggaraan Kemudahan Awam PBT Selangor.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan menyifatkan kemenangan ini disebabkan wujudnya keikhlasan, komitmen dan tanggungjawab daripada semua pihak yang terbabit di dalam kempen Zon Bersih MBSA.

Beliau mengikhtiraf usaha gigih dari semua pegawai, kakitangan MBSA, ahli majlis serta masyarakat Shah Alam yang memberikan kerjasama untuk memelihara kebersihan.

“Tiga perkara itulah menjadi faktor utama kejayaan hari ini dan saya sebagai Datuk Bandar hanyalah perancang dan pendorong kepada mereka.

“Tetapi mereka berkerja keras melaksanakannya, ini kejayaan mereka, setinggi-tinggi tahniah kepada mereka semua,” ujar beliau kepada TV Selangor.

Majlis penyerahan anugerah tersebut yang berlangsung di Shah Alam Convention Centre hari ini dirasmikan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain MBSA, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memengangi anugerah bagi kumpulan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi kumpulan Majlis Daerah.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang berjaya memenangi kategori Penglibatan Komuniti, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (Pengurusan Dokumentasi), Majlis Perbandaran Subang Jaya (Mengekalkan Zon Bersih Lama) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (Pengurusan Aduan Setempat).
Penilaian anugerah dibuat oleh satu jawatankuasa yang diketuai oleh Dekan Universiti Selangor (Unisel), Datuk Profesor Dr Mohd Fuad Salleh.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, masyarakat boleh dididik supaya menjaga kebersihan dengan memastikan kebersihan sesuatu kawasan ditingkatkan.

“Rakyat Singapura begitu menjaga kebersihan di negara mereka, tetapi sikap itu hilang apabila mereka datang ke Johor.

Sebab mereka rasa tak mengapa buang sampah di Johor yang mereka lihat kurang bersih berbanding negara mereka.

Begitu juga di sini, kalau masuk di kompleks beli belah yang teratur dan bersih, pengunjung ragu-ragu untuk membuang sampah.

Tetapi bila masuk di kompleks yang tak teratur dan kotor, mereka tak kisah untuk campakkan sampah mereka merata-rata,” ujar Abdul Khalid.

Leave a Reply

Your email address will not be published.