Categories
SELANGOR

MBSA Rancang Perluas Lebih 24 Zon Bersih, Zon Bersih Mini Termasuk Pangsapuri

SHAH ALAM, 1 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mewartakan lebih 24 kawasan baru sebagai Zon Bersih dan Zon Bersih Mini termasuk pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah.

Antara kawasan yang dirancang untuk mendapat status Zon Bersih pada 2013 adalah Seksyen 2, Seksyen 3 dan Seksyen 4 Shah Alam.

Manakala proses untuk medapatkan status sebagai Zon Bersih sudah mula dijalankan bagi Seksyen 9 dan Zon Bersih Mini bagi Seksyen 18 Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata proses ini akan berterusan sehingga kawasan tersebut berjaya mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan sebelum boleh diberikan status Zon Bersih atau Zon Bersih Mini.

Usaha MBSA ini juga diteruskan dengan mengadakan mesyuarat dengan ahli-ahli majlis untuk mendapatkan persetujuan melaksanakan sebanyak 24 buah zon bersih mini lain di peringkat majlis.

“Bagi perumahan bertingkat kita akan adakan kerjasama dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan (Exco Perumahan).

?Kita juga akan cuba dapatkan sedikit peruntukan dari Tabung Ceria dari Exco Perumahan,” ujar beliau kepada TVSelangor semalam.

Menurut, Mohd Jaafar perancangan tersebut dibuat sebagai menyahut seruan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar menggunakan elemen pendidikan kepada masyarakat dalam memelihara kebersihan berbanding elemen paksaan.

“Kawasan tak payah terlalu besar, untuk satu-satu ahli majlis sekitar 20 ekar dan kita fokus kawasan itu sebab kita nak timbulkan kesedaran masyarakat,” kata beliau.

MBSA juga mahu merancang untuk mengadakan kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi mewujudkan Zon Bersih di kawasan perumahan yang dimajukan oleh syarikat itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.