Categories
SELANGOR

Pekawanis Bantu Pesakit Lymphoma Kronik

SUNGAI BULOH 5 DIS : Derita ditanggung pesakit Lymphoma Kronik, Rohaya Mohd Ariffin, 41, mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) yang bersedia menyalurkan bantuan kewangan.

Pengerusinya, Puan Sri Salbiah Tunut berkata, masalah dialami Rohaya adalah serius dan Pekawanis berharap pembedahan yang akan dijalaninya di Hospital Sungai Buloh (HSB) pada Jumaat ini bakal menghasilkan keputusan positif.

Menurutnya, penyakit Rohaya yang mengidap barah kulit mendapat perhatian Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyarankan satu lawatan diadakan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Setelah berita tentang Rohaya disiarkan dalam akhbar, kita membuat lawatan ke rumahnya dan mendapati keadaannya kritikal.

?Kita berusaha membantu mendapatkan kerjasama pihak hospital dalam perkara ini.

“Kita akan terus membantu bagi meringankan bebanan ditanggung pesakit dan keluarganya.

?Pekawanis akan mengusulkan bantuan menerusi peruntukan Geran Selangorku sekiranya bantuan kewangan diperlukan dalam perkara ini,” katanya selepas melawat Rohaya di HSB di sini hari ini.

Turut serta dalam lawatan, Penyelaras DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri.

Rohaya dari Sungai Burung dimasukkan ke HSB hari ini dan dijangka menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat kira-kira 50 kilogram (kg) di badannya.

Suaminya, Hassan Zakaria, 47, berkata, isterinya menanggung derita itu lebih 30 tahun di mana dia pernah menjalani pembedahan buat kali pertama pada usia 11 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Bagaimanapun ketumbuhan tersebut berulang saban tahun dan sejak kebelakangan ini amat membimbangkan kerana saiznya yang membesar.

?Bagi keluarga berpendapatan rendah seperti kami memang ianya membebankan bagi mendapatkan kidmat perubatan.

“Pembedahan ini diharap dapat membantu dan kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin akan masalah kami,” kata pengawal keselamatan anak dua ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.