Categories
NASIONAL

Pemimpin BN Dicabar Melawat Tapak Skandal Tanah Di Selangor

SHAH ALAM,5 DIS : Ketua Biro Profesional Muda MCA Pusat, Datuk Chua Tee Yong dijemput melawat tapak 24 keping tanah milik Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan kepada Umno-BN sekitar tahun 2004 -2008.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan medianya berkata, Chua yang terlalu obses berkenaan ‘skandal tanah’ khususnya di Selangor perlu menerima tawaran jemputan ini.

Kata Tony, lawatan bersama ke 24 tapak tanah itu bagi mengesahkan samada tanah yang diberikan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan sememangnya digunakan untuk ‘komuniti’ atau untuk keuntungan parti dan kroni.

“Semasa lawatan bersama Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh ke kawasan tapak seluas 87.188 kaki persegi di Ara Damansara yang diberikan kepada Umno Bahagian Subang mendapati tidak wujud tadika atau dewan komuniti.

“Sebaliknya kita mendapati sebuah kondominium 200 unit – Kondominium Suria Damansara bernilai lebih daripada RM500 juta yang mula dilancarkan pada tahun 2006,” kata Tony.

Justeru, lawatan bersama itu juga bagi mengenalpasti keuntungan 23 daripada 24 tapak tanah itu yang diperolehi oleh anggota BN daripada tanah tersebut yang diperolehi pada harga murah daripada Kerajaan Negeri BN sebelum ini.

Ng Suee Lim yang dihubungi berkata, dakwaan Ketua Bahagian Umno Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menafikan pemilikan tanah oleh Umno Subang itu sebagai tindakan untuk melindungi diri semata-mata tanpa hujah kukuh.

Kata Suee Lim, geran tanah tersebut masih di atas nama Umno Bahagian Subang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat membina dewan serbaguna dan tadika.

“Sepatutnya beliau mengetahui wujudnya tanah ini yang mungkin berlaku sebelum beliau menjadi Ketua Bahagian Umno Subang, sepatutnya beliau mempunyai rekod berkenaan perkara ini,” kata Suee Lim.

Jelas beliau, perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan juga laporan kepada polis akan dibuat dalam masa terdekat.

“Menteri Besar Selangor pun bersetuju perkara mengenai ini di bawa ke Selcat yang kini akan diteliti oleh Jawatankuasa Selcat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.